KUALA LUMPUR, 26 Okt – Persaingan Malaysia dalam Kejohanan Terbuka Badminton Perancis 2018 berakhir selepas dua beregu terakhir yang meneruskan perjuangan dikalahkan lawan masing-masing pada pusingan kedua kejohanan di Paris, Perancis pada hari ini.
Pasangan beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia Teng Fong-Soh Wooi Yik tumpas 19-21 dan 16-21 kepada Han Chengkai-Zhou Houdong daripada China dalam perlawanan yang berlangsung di Stade Pierre de Coubertin, menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Gandingan beregu campuran negara yang juga pilihan kelapan Goh Soon Huat-Shevon Lai, kalah mengejut 19-21, 24-22 dan 19-21 kepada gandingan bukan pilihan daripada England, Marcus Ellis-Lauren Smith.
Persaingan Malaysia dalam dua lagi acara, perseorangan lelaki dan beregu wanita turut berakhir selepas mereka kalah kepada lawan masing-masing dalam pusingan pertama. – Bernama