Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cabaran Orienteering pengakap

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Lebih 200 orang ahli pengakap dari lapan buah sekolah rendah dan tujuh buah sekolah menengah kerajaan dan swasta, menyahut cabaran Orienteering Pengakap ke-2, kelmarin.

    Cabaran anjuran Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) yang berlangsung di Pusat Latihan dan Kegiatan Pengakap Kebangsaan, Kompleks PPNBD, Jalan Gadong itu telah dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali yang seterusnya melihat lebih dekat lagi cabaran yang dilakukan oleh peserta.

    Antara lain tujuan cabaran berkenaan adalah untuk meningkatkan kemahiran asas ahli pengakap dalam kemahiran membaca peta dan kompas yang bersesuaian dengan system nilai dan kaedah berpengakap serta kempen kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan ahli.

    Pertandingan tersebut dibahagikan kepada empat kategori iaitu bahagian pengakap tunas, pengakap muda, pengakap remaja dan bahagian terbuka individu pemimpin untuk ahli pengakap kelana, pemimpin pengakap dan pengakap dewasa.

    Melalui aktiviti berkenaan, ahli pengakap dapat menggunakan pengetahuan asas kepengakapan dalam situasi sebenar di mana aktiviti tersebut membolehkan ahli memahami kepentingan kerja berpasukan.

    Pertandingan diketuai dan dikendalikan oleh Pesuruhjaya Pengakap Daerah Temburong, Awang Jurkarnain bin Haji Hussin yang berkhidmat di Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD), Jabatan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan sokongan daripada pegawai teknikal dari Wilayah Persekutuan Labuan.

    Cabaran orienteering berkenaan bukan sahaja bergantung sepenuhnya kepada keupayaan fizikal seperti larian tapi kemahiran membaca peta juga merupakan elemen penting di mana ia memerlukan laluan yang terbaik.

    Turut hadir pada cabaran tersebut ialah pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, pesuruhjaya pengakap daerah, pegawai eksekutif pengakap dan pemimpin pengakap serta penolong-penolong pemimpin pasukan pengakap.

    Haji Awang Badar melihat lebih dekat cabaran untuk pengakap tunas sambil menerima penerangan daripada Awang Jurkarnain.
    Ahli pengakap tunas tekun menyelesaikan cabaran orienteering untuk kategori pengakap tunas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda