Oleh Mohammad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Cabaran Royal Brunei Enduro Series 2017 meletakkan Brunei Darussalam sebagai salah satu destinasi perlumbaan basikal bukit yang berprestij di rantau ini dan buat julung-julung kali diadakan bermula 30 September sehingga 1 Oktober hujung minggu ini di Tasik Serubing dan Subok.
Edisi di negara ini merupakan yang ketiga bagi siri enduro selepas edisi Nepal dan Chiang Mai, dan format perlumbaan berdasarkan masa terpantas dalam semua peringkat perlumbaan sebelum dinobatkan juara siri Brunei, sekali gus menyumbang kepada mata terkumpul di dalam siri Enduro Asia 2017.
Ketika majlis makan malam semalam, Isyraq Zakiran yang juga merupakan wakil Pentadbiran dan Pemasaran Kingdom Rides and Adventure, menegaskan populariti lumba basikal bukit menunjukkan perkembangan yang menggalakkan dan pastinya dengan penganjuran ini akan membangunkan lagi perkembangan sukan ini.
“Ini adalah pertama kali perlumbaan seperti ini dibuat pada skala besar dan standard kejohanan berdasarkan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan Asian Enduro Series, yang selaras dengan Kesatuan Pelumba Basikal Antarabangsa (UCI) dan World Premier Enduro Series.
“Ini adalah batu loncatan kita dan pihak penganjur akan melihat kepada aspek-aspek yang boleh dipertingkatkan, baik penganjuran dan perkembangannya serta kami berharap supaya ia boleh setanding dengan penganjuran enduro di Eropah,” ujarnya lagi.


Apabila ditanya mengenai permulaan siri ini, katanya ia bermula dengan lawatan sosial Jason Pickett, pemilik Kingdom Rides and Adventures, yang melihat potensi sukan lasak ini dan trek yang baginya boleh dibariskan dalam penganjuran antarabangsa.
“Tidak semua akan bertanding dalam bahagian ‘Elite’ yang disertai pelumba yang berpengalaman untuk menghabiskan lapan peringkat hujung minggu ini, kerana sebahagian akan bertanding dalam bahagian ‘Aficionados’ yang hanya memestikan pelumba melengkapkan enam peringkat sahaja,” kata Isyraq.
Bahagian Legends pula akan menampilkan pelumba berusia 45 tahun ke atas dan juga dua lagi kategori lain termasuk Kategori Wanita dan Prodigi yang akan disertai remaja dan semua laluan dirintis oleh kru the Kingdom Rides and Adventures dengan kerjasama Komuniti Basikal Bukit Tempayan.
“Trek ini dirintis sejak setahun lalu, apa yang menarik adalah trek ini sangat mencabar dan pastinya akan mencabar para peserta serta akan menjadi tarikan kepada penyertaan lebih besar akan datang,” ujarnya.
Katanya lagi “siri ini turut berjaya menarik barisan pelumba yang dikenali dalam siri Enduro antaranya Florent Poilane daripada ASAMA Bikes, pelumba Perancis yang berpusat di Vietnam, di samping penyertaan lebih 30 pelumba tempatan.”
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis makan malam yang berlangsung di Kelab Rekreasi Diraja Brunei itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali.