Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cabaran tangani kepadatan penduduk

    KAHERAH – Ali Abdelaziz dikurniakan 10 orang anak. Dia menganggap anak-anak itu sebagai sebahagian daripada pemberian tuhan kepadanya.

    Abdelaziz bekerja di ibu kota sebagai penjaga pintu manakala anak-anaknya tinggal di sebuah kampung di selatan Minya, Mesir bersama isterinya.

    Bagaimanapun, tindakan Abdelaziz yang mempunyai keluarga besar telah memberi tekanan ke atas ekonomi negara. Ia diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik dan keamanan sejak pemberontakan menggulingkan bekas presiden, Hosni Mubarak pada tahun 2011.

    Dianggarkan jumlah penduduk di Mesir adalah 96 juta dan 9.4 juta warga asing. Ia menjadikan Mesir sebagai negara Arab paling ramai penduduk dengan tambahan 1.6 juta orang setiap tahun. Menurut laporan Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Mei lalu, jumlah penduduk negara itu akan mencapai 119 juta pada tahun 2030.

    Memandangkan 95 peratus tanah di negara benua Afrika itu adalah gurun yang tidak dapat didiami, maka penduduknya tertumpu di sekitar lembah Nil dan delta Nil. Jumlah penduduk yang lebih kecil tinggal di sepanjang pantai Mediterranean dan Laut Merah.

    Penurunan kadar kematian sejak awal tahun 1970-an meningkatkan lagi jumlah penduduk di negara itu. Dianggarkan hampir 20 juta orang tinggal di Kaherah. Kepadatan penduduk ialah 50,000 orang bagi setiap kilometer persegi.

    Presiden, Abdel Fattah al-Sisi berkata, pertumbuhan penduduk adalah satu cabaran yang kritikal seperti serangan pengganas.

    Bagi membendung masalah itu, kerajaan memperkenalkan kempen perancangan keluarga pada tahun ini dengan slogan ‘dua sudah cukup’.

    “Anak-anak adalah tempat berlindung. Mereka akan menjaga ibu bapa pada waktu tua,” ujar Abdelaziz yang tidak bersetuju dengan kempen merancang keluarga.

    Abu Bakr el-Gendy semasa diwawancara oleh AFP baru-baru ini di Kaherah. – AFP
    Mesir adalah sebuah negara yang paling ramai penduduk di dunia Arab dengan memiliki 96 juta penduduk dan jumlah itu semakin bertambah sebanyak 1.6 juta setiap tahun. – AFP
    Mesir adalah sebuah negara yang paling ramai penduduk di dunia Arab dengan memiliki 96 juta penduduk dan jumlah itu semakin bertambah sebanyak 1.6 juta setiap tahun. – AFP

    Bagi Hayam Mohamed yang merupakan ibu kepada tiga cahaya mata, dia memilih untuk menggunakan pusat perancang keluarga kerajaan di Kampung Umm Khenan di Wilayah Giza.

    “Saya tidak mahu anak-anak saya berasa tidak selesa. Kos pendidikan sungguh mahal dan kehidupan sangat sukar dengan kenaikan harga.

    “Jika saya mempunyai lima atau enam orang anak, saya tidak mampu memberi mereka makan,” ujar wanita berusia 32 tahun itu.

    Seorang doktor, Fardous Hamed memberitahu, bilangan orang yang menggunakan perkhidmatan perancang keluarga meningkat walaupun harganya kian bertambah akibat inflasi.

    “Kesedaran semakin meningkat dalam kalangan penduduk di sini,” ujar Fardous.

    Sementara itu, Ketua Biro Statistik Mesir, Abu Bakr el-Gendy memberi gambaran bahawa kadar pertumbuhan penduduk sebagai satu malapetaka.

    Beliau memberitahu, kadar pertumbuhan penduduk meningkat dengan pantas antara tahun 2005 hingga 2014 sebelum kembali stabil pada tahun 2016.

    Menurut Abu Bakr, kadar pertambahan penduduk perlu tiga kali lebih rendah daripada pertumbuhan ekonomi bagi memastikan taraf hidup rakyat tidak merosot. Bagaimanapun, semakin tinggi kadar kemiskinan, kadar kelahiran kian meningkat kerana ibu bapa menganggap anak sebagai sumber pendapatan.

    Hal ini kerana banyak kanak-kanak yang menyertai pasaran tenaga buruh ketika di bawah umur. Ketua sebuah pusat penyelidikan pendapat peribadi awam, Magued Osman berkata, jumlah penduduk Mesir yang ramai adalah pembunuh diri kolektif.

    “Fenomena ini berlaku disebabkan ahli politik mengabaikan isu itu sejak setengah dekad sebelumnya.

    “Masalah ini perlu dipandang serius menerusi kempen berterusan melalui media seperti radio dan televisyen bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai pentingnya perancangan keluarga,” ujar seorang profesor obstetrik di Universiti Kaherah, Mona Abu el-Ghar.

    Tambahnya, kempen itu perlu ditaja oleh pihak berkuasa dan institusi al-Azhar.

    Timbalan imam besar al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayeb pula memaklumkan, perancangan keluarga dibenarkan dalam agama Islam. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda