MADRID, 30 Mei – Alisson Becker menjadi penjaga gol termahal dunia musim panas lalu di saat Hugo Lloris meraikan kemuncak karier profesionalnya.
Ketika pembelian baharu Liverpool, Alisson bergambar di pusat latihan Melwood, Lloris yang juga penjaga gol Perancis masih meraikan kejayaan pasukannya menjulang Piala Dunia, lima hari selepas membenam Croatia 4-2 di final.
Begitupun, kedua-duanya tidak dapat menikmati masa ‘indah’ itu secukupnya. Kurang tiga bulan selepas Reds membayar Roma 75 juta pound untuk Alisson, Chelsea mengatasi jumlah berkenaan sebanyak 5 juta pound (bagi mendapatkan Kepa Arrizabalaga.
Lloris pula, sejurus menjulang trofi keagungan itu di Moscow, dia menyuarakan mengenai rasa ‘kosong’. “Saya masih ingat yang saya memerlukan sehari suntuk berada di atas katil dan mahu terus berhenti. Saya perlu melupakannya sedikit.”
Selepas 10 bulan kemudian, kedua-dua penjaga gol berkualiti itu bertembung di pentas final Liga Juara-Juara di Madrid, 2 Jun ini.

Bagi Lloris, perjalanannya ke Madrid tidak begitu lancar selepas musimnya bermula dengan dakwaan memandu dalam keadaan mabuk pada Ogos yang menyebabkannya didenda 50,000 pound dan penggantungan memandu selama 20 bulan.
“Ia adalah insiden yang memberikan kamu pengajaran,” kata Lloris. “Saya melakukan kesilapan.”
Di atas padang, Lloris turut melakukan kesilapan yang dilihat cukup untuk meletakkan posisinya dalam keraguan tetapi tanpa khidmatnya, Spurs mungkin tidak beraksi di Liga Juara-Juara musim depan.
Di pentas Eropah, persembahan yang ditampilkan olehnya cukup mengujakan terutama di peringkat 16 terakhir dan suku akhir sekali pun prestasinya di awal saingan tidak begitu meyakinkan.
“Kamu tahu akan sentiasa ada naik dan turun sepanjang musim,” kata Lloris. “Kami hanya perlu cuba untuk berada di tahap terbaik ketika tempoh paling penting.”
Ketika Lloris menyertai Spurs pada 2012, ramai mempersoalkan mengapa kapten Perancis itu, yang dianggap antara penjaga gol terbaik dunia memilih pasukan yang beraksi di Liga Europa ketika itu tetapi dia mungkin sudah angkat kaki jika tidak disebabkan jurulatih, Mauricio Pochettino.
“Hugo ialah salah seorang penjaga gol terbaik di dunia,” kata Pochettino. “Dia kapten kami dan tiada keraguan mengenainya.”
Bagi Liverpool, mereka sepatutnya membuat langkah drastik dengan membawa Alisson lebih awal sebelum ke Anfield kerana kelab itu memang memerhatikan perjalanan kariernya sebelum berdepan kesilapan Loris Karius di final musim lalu.
Kehadirannya bersama pertahanan Virgil van Dijk berjaya mengubah pertahanan Liverpool menjadi yang terbaik di Liga Perdana musim ini.
“Jika saya tahu dia sebagus ini, saya bersedia menggandakan gajinya,” kata pengurus Reds, Jurgen Klopp pada Disember selepas aksi menyelamat hebat Allison membantu pasukan itu daripada disingkirkan Napoli.
Pemain berusia 26 tahun itu juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, Pada September, bolanya dirampas oleh Kelechi Iheanacho ketika bertemu Leicester dan pada Disember menentang Manchester United, kegagalannya membenarkan Jesse Lingard untuk meledak. – AFP