Sunday, July 7, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Cabul kehormatan, mahkamah tolak rayuan lelaki tempatan

    Oleh Nour Maghfirah –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Ketua Hakim Negara Dato Seri Paduka Steven Chong, bersama-sama dengan Hakim Conrad Seagroatt dan Edward Timothy Starbuck Woolley, telah menyerahkan penghakiman pada 20 Jun lalu, melibatkan seorang lelaki tempatan yang memohon kebenaran untuk mengemukakan rayuan melebihi waktu terhadap hukuman penjara 21 tahun dan 12 kali sebatan bagi beberapa kesalahan rogol.

    Pada 18 Oktober 2022, di Mahkamah Tinggi, selepas mangsa memberikan keterangannya, perayu menukar pengakuannya kepada bersalah atas empat pertuduhan merogol.

    Menurut Pendakwa Raya Atiyyah Abas, kesalahan-kesalahan itu dilakukan oleh perayu terhadap anak saudaranya dalam tempoh lebih dua tahun, antara Disember 2019 dan Mei 2022, di rumah keluarga itu. Ketika itu, perayu berusia 22 tahun dan tinggal bersama ibunya dan seorang kakak dan lima orang anak saudara termasuk mangsa. Mangsa yang masih bersekolah berusia antara 12 hingga 15 tahun ketika kesalahan itu berlaku.

    Insiden rogol itu turut melibatkan pemaksaan mangsa melakukan perbuatan seksual terhadap defendan. Bukti menunjukkan mangsa bimbang akan keselamatannya kerana perangai buruk perayu. Mangsa hamil pada penghujung tahun 2021, dan keluarganya merahsiakannya kerana malu dan takut terhadap perayu, yang dikenali sebagai seorang yang agresif. Kesalahan itu terbongkar pada 21 Mei 2022, selepas mangsa memaklumkan kehamilannya kepada gurunya.

    Mahkamah Rayuan mendapati Hakim Mahkamah Tinggi mempertimbangkan beberapa faktor yang memburukkan disebabkan usia mangsa yang masih muda ketika pertama kali dirogol, kesalahan yang dilakukan di rumah di mana dia sepatutnya selamat, pecah amanah yang teruk oleh perayu sebagai bapa saudara mangsa, kehamilan mangsa, dan pelbagai kesalahan yang berlaku lebih daripada dua tahun. Rujukan telah dibuat kepada beberapa keputusan mahkamah mengenai hukuman, yang membawa kepada hukuman agregat 21 tahun penjara dan 12 kali sebatan.

    Defendan berhujah untuk hukuman diringankan, memetik rekodnya yang bersih, penyesalan, kesediaan untuk menerima tanggungjawab ibu bapa terhadap anak yang dilahirkan akibat rogol dan kebergantungan ibunya kepada dirinya.

    Walau bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mendapati tiada merit dalam hujah-hujah ini, memandangkan faktor-faktor yang memburukkan ketara yang dikenal pasti oleh hakim, termasuk penyerangan seksual berulang kali yang dialami oleh mangsa, mengakibatkan permohonan itu ditolak, dengan mahkamah membuat kesimpulan bahawa membenarkannya tidak akan membawa apa-apa manfaat.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...