Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cabul kehormatan pelajar, guru terima hukuman

    Oleh Nour Maghfirah – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 DIS – Mahkamah Perantaraan hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dengan dua sebatan terhadap seorang guru agama kerana mencabul pelajar perempuan.

    Hakim Pengiran Hajah Norismayanti binti Pengiran Haji Ismail menjatuhkan hukuman itu kepada Mohammad Ali Yusni bin Haji Bujang kerana mencabul kehormatan seorang murid perempuan ber-usia 12 tahun dengan menggunakan kekerasan jenayah pada 26 Oktober 2021.

    Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Perantaraan terdahulu atas penemuan kesilapan dalam membebaskan Mohammad Ali Yusni.

    Keputusan 11 November yang dibuat oleh Ketua Hakim Negara Dato Seri Paduka Steven Chong yang bersidang bersama Hakim Michael Peter Burrell dan Hakim Conrad Seagroatt secara efektif mengenakan sabitan kesalahan bagi menggantikan pembebasan itu setelah mendapati hakim telah tersalah beri arahan semasa membuat keputusan.

    Timbalan Pendakwa Raya Hajah Suriana binti Haji Radin membatalkan keputusan selepas Mahkamah Perantaraan membebaskan Mohammad Ali Yusni.

    Mahkamah Rayuan meneliti keputusan Mahkamah Perantaraan berdasarkan ketiadaan kekerasan jenayah. Selain menemui kesilapan dalam membuat keputusan atas dasar teknikal, Mahkamah Rayuan mendapati Mohammad Ali Yusni ‘tanpa ragu-ragu berada dalam kedudukan amanah dan hakikat bahawa mangsa mempunyai sedikit perasaan terhadapnya, menyebabkan dia terdedah kepada kecenderungan seorang lelaki yang jauh lebih tua yang berada dalam loco parentis kepadanya dan mengambil kesempatan dari usianya untuk melakukan serangan seksual yang menyalahi undang-undang’.

    Mereka menekankan bahawa mangsa berada dalam ‘perwatakan yang agak pasif yang memudahkan dia menggunakan tindakan kekerasan yang minimum bagi menyerang mangsa secara seksual dan terdapat bukti yang jelas mengenainya. Hakim (Mahkamah Perantaraan) mengakui dan mempercayai keterangan mangsa dalam hal-hal yang relevan untuk keseluruhan kes tersebut’.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda