Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cacar Monyet: 5 kes positif dikesan

    PUTRAJAYA, 30 NOV – Terdapat lima kes baharu jangkitan positif cacar monyet (mpox) dikesan di Malaysia bagi tempoh 31 Oktober hingga semalam, kesemuanya membabitkan lelaki tempatan, yang menjadikan jumlah kumulatif sehingga kini sebanyak sembilan kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini berkata kesemua kes baharu yang dilaporkan itu tiada hubung kait dengan kes-kes yang dilaporkan sebelum ini.

    Kes kelima disahkan pada 10 November melibatkan lelaki berumur 40 tahun yang terlibat dalam aktiviti berisiko dan menunjukkan gejala demam dan lepuh pada 29 Oktober.

    Kes keenam pula membabitkan lelaki berumur 32 tahun yang menunjukkan gejala demam dan lepuh pada 7 November dan disahkan pada 12 Nov, manakala kes ketujuh merupakan kontak rapat kepada kes keenam, melibatkan lelaki berusia 35 tahun yang turut menunjukkan gejala lepuh pada 11 November dan disahkan pada 12 November.

    Kes kelapan melibatkan lelaki berumur 26 tahun yang mempunyai sejarah penglibatan dalam aktiviti berisiko dan mengalami gejala demam, sakit kepala, sakit otot (myalgia), bengkak kelenjar (lymphadenopathy) dan ruam makulopapular sejak 6 November dan disahkan pada 15 November.

    Bagi kes kesembilan pula membabitkan lelaki berumur 47 tahun yang terlibat dalam aktiviti berisiko menunjukkan gejala demam dan ruam pada 8 November dan disahkan pada 17 November.

    “Kesemua kes sedang menjalani isolasi di hospital dan berada dalam keadaan kesihatan yang stabil.

    “…manakala kesemua kontak bagi kes yang disahkan telah dikenal pasti dan status kesihatan mereka juga sedang dipantau,” katanya sambil menambah kesemua kes menafikan mempunyai sejarah lawatan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul.

    Dr Muhammad Radzi berkata jangkitan berlaku menerusi sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox. – Bernama

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda