Cacing kesan tanda awal kanser?

TOKYO, 16 NOV – Ujian saringan menggunakan cacing halus bagi mengesan tanda awal kanser pankreas dalam air kencing telah dibangunkan oleh firma bioteknologi Jepun, meningkatkan harapan ia boleh dijadikan pengesanan rutin.

Para saintis sudah lama mengetahui bendalir tubuh pesakit kanser mempunyai bau berbeza berbanding mereka yang sihat, dengan anjing dilatih untuk mengesan sampel pernafasan atau air kencing.

Namun Hirotsu Bio Science mengubah genetik sejenis cacing digelar ‘C.elegans’ – sekitar satu milimeter panjang, yang mempunyai deria bau akut – memberi respons terhadap air kencing orang yang menghidap kanser pankreas, yang agak sukar dikesan pada peringkat awal.

“Ini adalah satu perkembangan teknologi utama,” Ketua Pegawai Eksekutif Takaaki Hirotsu, bekas ahli akademik yang mengkaji cacing halus dikenali sebagai nematodes itu memberitahu AFP. Firma berpangkalan di Tokyo itu sudah pun menggunakan cacing itu bagi mengesan kanser dalam ujian saringan, meskipun tidak menjelaskan jenis kanser.

Ujian terbaharu itu bukan untuk mendiagnosis kanser pankreas, tetapi ia boleh mempertingkatkan pengesanan rutin memandangkan ujian sampel air kencing boleh dibuat dengan mudah di rumah tanpa perlu ke hospital, kata Hirotsu pada satu sidang media hari ini.

Dan jika cacing itu memberikan amaran, pesakit boleh dirujuk kepada doktor untuk ujian lanjut, katanya. – AFP

Gambar diambil melalui mikroskop menunjukkan cacing halus nematodes dalam piring petri semasa dipaparkan pada sidang media oleh Hirotsu Bio Science di Tokyo, 16 November. Cacing halus itu dikatakan mampu mengesan kanser pankreas lebih awal. – AFP