LABUAN, 22 DIS – Satu cadangan telah dikemukakan untuk mewujudkan jeti khusus bagi pelancong dan penyelam di Terminal Feri Antarabangsa Labuan sedia ada, bermatlamat untuk merancakkan sektor pelancongan pulau bebas cukai itu.
Pengarah Jabatan Perikanan Labuan, Faizal Ibrahim Suhaili berkata cadangan itu mendapat kata sepakat semasa sesi libat urus awal tahun ini, melibatkan pelbagai agensi kerajaan berkaitan.
“Inisiatif untuk mewujudkan jeti khas bagi pelancong dan penyelam yang menuju ke pulau-
pulau popular dan tapak menyelam di Labuan adalah sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting yang boleh dimainkan dalam meningkatkan daya tarikan Labuan sebagai destinasi pelancongan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Faizal Ibrahim berkata Terminal Feri Antarabangsa Labuan dengan kemudahan sedia ada dan kehadiran pihak berkuasa tempatan seperti Imigresen dan pengendali terminal, menyediakan platform yang ideal untuk pengawasan dan memudahkan pergerakan pelancong.
“Terminal Feri Antarabangsa Labuan mempunyai kemudahan termasuk ketersediaan pihak berkuasa tempatan seperti Imigresen dan pengendali terminal untuk memantau aliran masuk dan keluar pelancong menerusi terminal ini,” katanya.
Seperti Jesselton Point Kota Kinabalu, yang menawarkan perkhidmatan kepada pelancong mengunjungi Taman Tunku Abdul Rahman, Faizal Ibrahim berkata Labuan juga perlu mempunyai jeti khusus untuk pelawat yang menuju ke taman laut itu. – Bernama
