Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Cadangan kereta api rentas Borneo yang dilaporkan oleh pihak media telah mendapat perhatian Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) di mana Kajian Kereta Api Rentas Sempadan akan bermula pada tahun ini.
Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi setakat ini mengetahui terdapat dua buah syarikat yang memaparkan cadangan projek membina dan mengadakan perkhidmatan kereta api yang menghubungkan negara-negara di kepulauan Borneo iaitu Negara Brunei Darussalam, Negeri Sabah dan Sarawak, Malaysia serta Kalimantan, Indonesia.
Penerangan itu dibuat oleh Menteri Pengangkutan dan Info-komunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha semasa pembentangan peruntukan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Tahun Kewangan 2024/2025 pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.
“Walau bagaimanapun, setakat kini, belum ada perbincangan rasmi di peringkat kerajaan mengenainya.
“Akan tetapi, di peringkat ASEAN ada terdapat satu sub-working group, iaitu ASEAN Railway Sub-Working Group yang membincang hal-hal berkaitan mengenai railway connectivity di dalam ASEAN. Mungkin perkara ini akan ditimbulkan di situ pada masa akan datang,” tambahnya.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary seterusnya berkata, pihak kementeriannya mengambil maklum mengenai aspirasi syarikat-syarikat berkenaan untuk mengadakan perkhidmatan kereta api di kepulauan Borneo dengan tujuan untuk meneruskan ketersambungan (connectivity) dan mobiliti di Pulau Borneo.
Katanya lagi bahawa difahami ia masih memerlukan kajian lanjut daripada syarikat-syarikat berkenaan terutama daripada segi kebolehlaksanaan, pelaburan, liabiliti dan komitmen daripada pihak-pihak berkepentingan termasuk mengambil kira sebarang komitmen di peringkat kerajaan.



