LABUAN, 19 FEB – Cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dan Sabah boleh membantu merangsang pertumbuhan ekonomi yang seterusnya dapat mewujudkan peluang pekerjaan, kata Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Kadazandusun (KCCI) Paul Ipoh Leokin.
Selain itu, katanya, pembinaan jambatan tersebut bukan sahaja akan menjadi jalan hubungan yang lebih baik malahan boleh menjimatkan kos bagi penduduk antara kedua-dua kawasan.
Ketua bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Labuan yang juga naib presiden parti Datuk Peter Mak dalam satu kenyataan kelmarin berkata Labuan memerlukan jambatan yang menghubungkan ke tanah besar Sabah agar pulau kewangan luar pesisir itu dapat berkembang dan memenuhi potensi sebenarnya.
Paul yang bersetuju dengan cadangan Mak itu berkata pembinaan jambatan tersebut akan melengkapkan mod pengangkutan sedia ada yang lain antara kedua-dua kawasan.
“Selain itu, ia akan mengukuh dan menyokong pembentukan industri berpotensi yang seterusnya memberi manfaat kepada penduduk Labuan, terutamanya menerusi penciptaan pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata satu lagi perkara yang perlu diambil perhatian adalah potensi pasaran yang lebih meluas kepada Labuan apabila Lebuh Raya Pan Borneo siap kelak.
“Pulau ini akan dapat memanfaatkan pasaran yang lebih meluas. Kami percaya jambatan itu akan menjadi pembawa perubahan bukan sahaja kepada Labuan tetapi juga kawasan sekitarnya. Justeru usaha perlu diteruskan untuk merealisasikan pelaksanaannya,” katanya.
Menurut Mak cadangan pembinaan jambatan Labuan-Menumbok itu perlu dilihat sebagai satu komponen penting dalam pembangunan Labuan kerana ia akan membukakan pulau itu kepada peluang pasaran lebih meluas di Sabah, Sarawak, Brunei dan malahan Kalimantan. – Bernama