Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MAC – Beberapa cadangan dan nasihat telah dikemukakan oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) mengenai dengan pendigitalan buku Irsyad Hukum, penterjemahan buku Irsyad Hukum ke dalam bahasa Inggeris dan Mandarin, di samping usaha lain untuk menyebarkan dakwah Islamiah di Jabatan Mufti Kerajaan.
Cadangan-cadangan tersebut disambut baik oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam Ulasan Menteri berkenaan Rang Undang-undang dan Usul Ketetapan Kumpulan Wang Kemajuan Peringkat Jawatankuasa, pada hari kesembilan Persidangan MMN ke-21 di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Selain itu, Yang Berhormat Pehin turut mengongsikan beberapa usaha yang telah dilaksanakan.
“Pihak jabatan telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi menyediakan landasan dan kemudahan bagi masyarakat untuk mendapatkan maklumat ilmu dan maklumat Islam.”
Beliau seterusnya mengongsikan, antara yang telah dilaksanakan akaun rasmi jabatan bagi aplikasi Instagram yang telah dilancarkan 24 Jun 2023 dan YouTube pula telah dilancarkan pada tahun yang sama.
Yang Berhormat Pehin seterusnya menjelaskan, usaha pendigitalan Irsyad Hukum yang termasuk dalam inisiatif berterusan jabatan berkenaan untuk mewujudkan landasan bagi bahan dalam bentuk digital dan akan diperkenalkan masyarakat yang bersesuaian.
Berkenaan dengan cadangan dan penterjemahan Irsyad Hukum ke dalam bahasa Inggeris, jelasnya lagi, jabatan mengambil maklum dan menyambut baik cadangan tersebut, namun cadangan menterjemah buku Irsyad Hukum ke dalam bahasa Mandarin akan diteliti lagi kesesuaiannya.
