DUBAI, EMIRIAH ARAB BERSATU, 5 FEB – Cadangan Presiden Donald Trump menyatakan Amerika Syarikat ‘mengambil alih’ Semenanjung Gaza dan menempatkan semula penduduk Palestin secara kekal telah ditolak dan dikecam hari ini oleh sekutu dan seteru Amerika.
Cadangan Trump itu diumumkan dalam satu sidang akhbar di Rumah Putih bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang beberapa kali tersenyum ketika presiden itu memperincikan rancangan untuk membina penempatan baharu bagi rakyat Palestin di luar Semenanjung Gaza serta menjadikan AS sebagai ‘pemilik’ dalam usaha membangun-kan semula wilayah yang dilanda peperangan itu menjadi ‘Riviera Timur Tengah’.
“AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza dan kami akan melakukan kerja di sana juga.
“Kami akan memilikinya dan bertanggungjawab untuk membersihkan semua bom yang tidak meletup serta senjata lain di kawasan itu, meratakan tapak tersebut, menyingkirkan bangunan musnah dan mewujudkan pembangunan ekonomi yang akan menyediakan banyak pekerjaan,” kata Trump.
Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah gencatan senjata yang rapuh antara Israel dan Hamas, di mana kumpulan pejuang tersebut telah menyerahkan tawanan sebagai pertukaran untuk pembebasan tahanan yang ditahan oleh Israel.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P2-2A_06022024.jpg)
Mesir, Jordan dan sekutu Amerika lain di Timur Tengah telah menolak idea untuk memindahkan lebih 2 juta penduduk Palestin dari Gaza ke wilayah lain di rantau itu.
Berikutan kenyataan Trump itu, Kementerian Luar Negeri Mesir telah mengeluarkan kenyataan yang menekankan keperluan untuk membina semula Gaza ‘tanpa memindahkan rakyat Palestin keluar dari Semenanjung Gaza’.
Manakala, Arab Saudi sekutu penting Amerika, dengan satu kenyataan tegas, menekankan pembentukan negara Palestin yang merdeka adalah ‘pendirian yang teguh dan tidak berubah’.
“Kerajaan Arab Saudi juga me-negaskan apa yang diumumkannya sebelum ini tentang penolakan mutlak terhadap sebarang pelanggaran hak sah rakyat Palestin, sama ada melalui dasar penempatan Israel, pengilhakan tanah Palestin atau usaha untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka,” kata kenyataan.
Kenyataan serupa turut disuarakan oleh Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dan Menteri Luar Negeri New Zealand yang menyokong penyelesaian kedua-dua belah pihak.
Jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian, turut menegaskan sokongan lama Beijing terhadap penyelesaian dua negara. – AP