Thursday, February 13, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cadangan Trump henti bangun senjata nuklear Iran terima kecaman

    TEHRAN, 12 FEB – Rombongan Iran ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin mengecam kenyataan yang dibuat oleh Presiden Donald Trump yang mencadangkan untuk menghentikan Iran daripada membangunkan senjata nuklear di mana ia boleh dicapai sama ada melalui perjanjian atau serangan bom.

    “Saya lebih suka membuat perjanjian yang tidak akan mencederakan mereka,” katanya, sambil menambah bahawa saya suka membuat perjanjian tanpa menyerang mereka dengan bom.

    Iran kelmarin menyerahkan surat kepada Majlis Keselamatan PBB untuk mengemukakan bantahannya terhadap Trump.

    “Kenyataan melulu dan menghasut ini secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB, khususnya Perkara 2(4), yang melarang ancaman atau penggunaan kekerasan terhadap negara berdaulat,” kata ketua misi Iran, Saeed Iravani, dalam surat yang diterbitkan oleh agensi berita rasmi IRNA.

    Beliau seterusnya memberi amaran bahawa sebarang tindakan pencerobohan akan membawa akibat yang teruk, yang mana Amerika Syarikat akan bertanggungjawab sepenuhnya.

    Kenyataan Trump itu dibuat berikutan ketegangan baharu selepas beliau mengembalikan dasar tekanan sepenuhnya terhadap Iran atas kebimbangan negara itu berusaha untuk membangunkan senjata nuklear.

    Tehran menegaskan program nuklearnya adalah semata-mata untuk tujuan damai dan menafikan sebarang niat untuk membangunkan senjata atom.

    Dalam surat itu, Iravani juga mengecam dasar berkenaan dengan mengatakan ia menguatkan tindakan paksaan terhadap satu pihak yang menyalahi undang-undang dan meningkatkan permusuhan terhadap Iran. – AFP

    Trump semasa mengalu-alukan Marc Fogel di Rumah Putih pada 11 Februari, di Washington. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda