Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT- Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-22 yang membawa tema, Digital Intelligence and Innovation Empower Development- Leveraging China-ASEAN FTA 3.0 new opportunities for an even closer China-ASEAN Community of a shared future, telah diadakan di Nanning International Convention and Exhibition Centre (NICEC), Nanning, Republik Rakyat China pada 17 hingga 21 September.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, majlis pembukaan CAEXPO ke-22 telah disempurnakan oleh Naib Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Han Zheng pada 17 September lalu.
Delegasi Negara Brunei Darussalam pada majlis berkenaan telah diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

Sebanyak 13 buah syarikat temasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Badan Berkanun dan syarikat pemula dari Negara Brunei Darussalam telah mengambil bahagian dalam CAEXPO 2025 dengan menyertai acara di Pavilion of Cities of Charm, Pavilion Commodity dan Galeri ASEAN High-Tech.
Tahun ini menandakan Negara Brunei Darussalam mengambil bahagian dalam Galeri ASEAN High-Tech buat kali pertama.
Pada 17 September, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew telah mengambil bahagian dalam Mesyuarat Meja Bulat Menteri-Menteri Industri China-ASEAN yang dianjurkan oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MITI), China.
Mesyuarat meja bulat berkenaan menyediakan platform bagi menteri-menteri ASEAN dan pegawai-pegawai kanan untuk bertukar-tukar pandangan mengenai amalan terbaik dan dasar-dasar perindustrian, meneruskan momentum dari Forum Industri-Industri Baru Muncul China-ASEAN yang diadakan di Shenzen pada Julai 2023.
Perbincangan berkenaan menggariskan komitmen kepada kerjasama yang mendalam dalam industri-industri baru muncul dan untuk mempromosikan pertumbuhan mampan dan yang dipacu oleh inovasi di seluruh rantau.
Yang Berhormat Dato turut mengadakan perjumpaan peringkat tinggi dengan pemimpin-pemimpin kanan Guangxi termasuk Gabenor Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Tuan Yang Terutama Wei Tao, Setiausaha Jawatankuasa CPC Guangxi, Tuan Yang Terutama Chen Gang dan Timbalan Setiausaha Jawatankuasa CPC Guangxi, Wang Weiping.
Mesyuarat mengesahkan semula hubungan rapat di antara Negara Brunei Darussalam dan Guangxi di mana peluang lanjut bagi kerjasama mendalam akan dapat menjana manfaat bersama telah dibincangkan.

Manakala pada 19 September, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerjasama Koridor Ekonomi Brunei-Guangxi (BGEC-JCCS) di mana ia terus memainkan peranan penting dalam memajukan kolaborasi dalam sektor-sektor seperti akuakultur, ICT, logistik, pemprosesan makanan dan pelancongan iaitu bidang-bidang utama yang menyokong agenda mempelbagaikan ekonomi Brunei.
Perkembangan di Pelabuhan Muara dan hubungan perkapalan langsung ke pelabuhan-pelabihan Teluk Beibu telah mengukuhkan kesalinghubungan perdagangan.
Brunei juga menghargai sokongan Guangxi dalam mengekalkan laluan Brunei-Nanning yang dikendalikan oleh Royal Brunei Airlines serta berharap sokongan berkenaan akan diteruskan, memastikan ketersediaan jangka panjang bagi perdagangan, pelancongan dan pertukaran warga-ke-warga.
Memandang ke hadapan, Brunei mengalu-alukan lebih banyak pelaburan China dalam sekuriti makanan, hiliran minyak dan gas, perkhidmatan logistik ICT serta pelancongan.
Sebagai sebahagian daripada program, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan TYT Wei Tao telah menyaksikan penandatanganan beberapa Memorandum Persefahaman.
Ia meliputi bidang-bidang strategik seperti penghasilan aluminium elektrolitik, pembangunan bersama Taman Perindustrian Terunjing Brunei dan inisiatif-inisiatif untuk mengukuhkan syarikat pemula Brunei serta ekosistem inovasi melalui teknologi canggih termasuk kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT) dan komputeran awam.
Majlis penandatanganan berkenaan juga disaksikan oleh Naib Pengerusi Chinese People’s Political Consultative Conference (CPPCC) Guangxi, Tuan Yang Terutama Wang Naixue dan Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Ahmad Ariffin.




