Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Negara Brunei Darussalam menyertai Ekspo China-ASEAN Ke-22 (CAEXPO) dengan tujuan untuk memanfaatkan kesalinghubungan antara Brunei dan wilayah Guangxi yang semakin berkembang sebagai laluan masuk srategik ke pasaran China yang meluas.
Sebanyak 12 buah perniagaan dari Negara Brunei Darussalam yang merangkumi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), Syarikat Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka di Nanning International Convention and Exhibition Center dari 17 hingga 21 September.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), di sini, menyatakan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) memudahkan penyertaan Brunei dalam tiga lokasi utama iaitu Pavilion Komodoti iaitu platform utama bagi negara-negara ASEAN yang mengetengahkan lapan buah syarikat Brunei, Galeri Hi-Tech ASEAN yang mengetengahkan EVYD Technologies dan dua buah syarikat pemula di bawah Brunei Innovation Lab serta Cities of Charm (COC) yang mengetengahkan Muzium Alam Kebesaran Diraja dengan Darussalam Services yang berusaha untuk berinteraksi dengan pembeli serta rakan kongsi pelancongan China.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah bersama-sama Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhd Juanda bin Haji Abdul Rashid melawat ke petak-petak pameran Brunei berikutan pelancaran CAEXPO. Naib Pengerusi Committee of the Chinese People’s Political Consultative Conference for the Guangxi Zhuang Autonomous Region, Wang Naixue juga mengambil bahagian dalam lawatan berkenaan.
Perdagangan Brunei-China telah berkembang secara berterusan dalam sepanjang dekad yang lalu, mencapai rekod AS$2.809 bilion pada 2024, yang menyemarakkan keyakinan di kalangan perniagaan Brunei untuk mengembangkan eksport ke China.
Kesalinghubungan terus diperkukuhkan dengan laluan kontena Muara-Beibu Gulf dilancarkan oleh Muara Port Company pada 2023 menyediakan hubungan perkapalan langsung antara Brunei dan Guangxi.
“Kami menyertai CAEXPO tahun ini kerana kami sangat berminat untuk memanfaatkan hubungan laut yang dibuka oleh Muara Port Company antara Brunei dan Guangxi,” kata Pengurus Besar Barramundi, Alex Chiam, FDI dari Singapura yang telah memusatkan penternakan ikan barramundi mereka di Brunei.
“Barramundi kini mengeksport ke Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan, dan sebelum ini telah sampai ke bandar-bandar China seperti Shanghai. Kami mengiktiraf pasaran kelas pertengahan China yang besar dan mewah sebagai pemacu pertumbuhan utama sambil kami terus meningkatkan pengeluaran di Brunei. Peningkatan kesedaran kesihatan segmen pasaran ini, ditambah dengan pertalian budaya untuk makanan laut, sejajar dengan matlamat kami.”
Bagi PMKS Sahamada, yang terkenal dengan sos Cinta, ekspo itu menawarkan peluang untuk mengukur sambutan pasaran terhadap barisan produk makanan laut dan keropok ikan yang baharu. Syarikat itu baru-baru ini, telah membuat eksport pertamanya ke Singapura dengan sokongan dari Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB).
“Pencapaian eksport kami baru-baru ini dengan BEDB telah memberi kami keyakinan untuk terus mengejar pasaran antarabangsa. Kami di sini untuk mencari rakan kongsi dan pengedar yang berpotensi dan untuk melihat tindak balas pasaran terhadap produk kami, ” kata Mohd Nur Khalid Haji Alias.
Di Pavilion Komoditi, BEDB juga mempromosikan eksport produk tempatan sambil menonjolkan peluang pelaburan langsung asing untuk menyokong kepelbagaian produk Brunei dan membangunkan kelompok keutamaannya.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BEDB, Daniel Leong menyatakan bahawa melalui platform seperti CAEXPO dan Koridor Ekonomi Brunei–Guangxi menunjukkan peningkatan minat daripada firma Brunei dan China selain membuka peluang melabur di Brunei untuk mengukuhkan rantaian nilai perindustrian, meningkatkan eksport, mewujudkan pekerjaan dan membina hubungan dengan PMKS.
Semua di atas: Suasana semasa lawatan di pameran CAEXPO. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN BDEB

