Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Persidangan Persekutuan Persatuan-persatuan Kejuruteraan ASEAN ke-39 (CAFEO 39) yang berlangsung selama lima hari telah melabuhkan tirai, hari ini.
Majlis penutup CAFEO 39 diadakan secara fizikal di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC) serta secara maya menerusi platform Zoom yang terbuka untuk orang ramai.
Majlis dimulakan dengan menandatangani Deklarasi Bandar Seri Begawan mengenai Kejuruteraan dan Perubahan Iklim oleh semua ketua pertubuhan Kejuruteraan ASEAN yang merangkumi Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Filipina, Thailand, Vietnam dan Brunei.
Menurut kenyataan Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) Brunei, deklarasi berkenaan membayangkan untuk mewujudkan ekonomi ASEAN yang bersepadu dan sangat padu yang menyokong pertumbuhan ekonomi, berdaya tahan terhadap cabaran iklim, kesihatan dan alam sekitar, sambil menggabungkan agenda yang menggalakkan kesedaran mengenai teknologi mengganggu dan ekonomi pekeliling.
Penandatanganan deklarasi disusuli dengan penyampaian anugerah kepada ahli kehormat AFEO dan pemenang Anugerah Kejuruteraan. Majlis diakhiri dengan penyerahan kepengerusian CAFEO daripada Brunei kepada Kemboja untuk menjadi tuan rumah CAFEO 40 pada tahun depan.

Penyerahan tersebut ditandai dengan penyerahan Bendera AFEO oleh Presiden PUJA Brunei, Ir Haji Mohammad Zin bin Haji Salleh kepada wakil Lembaga Jurutera Kemboja di Brunei, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kemboja ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Hok Sophea. Sebagai sebahagian daripada CAFEO 39, PUJA juga telah menjadi tuan rumah bagi Persidangan Kertas Teknikal Kejuruteraan pada 1 dan 2 Disember lalu.
Kertas teknikal telah disampaikan oleh pembentang dari 10 buah negara ASEAN dalam empat sesi yang dimudahcarakan oleh ahli-ahli institusi akademik Brunei dan ahli PUJA. Sesi tersebut menyaksikan 39 kertas kerja dibentangkan yang memfokuskan pada tema acara utama iaitu ‘Kejuruteraan dan Perubahan Iklim’ dan menekankan kepentingan mengurangkan perubahan iklim yang melibatkan pengurangan aliran gas rumah hijau yang memerangkap haba ke atmosfera serta persediaan menghadapi bencana.
Dalam pada itu, wakil dari PUJA Brunei telah menghadiri Mesyuarat Pendaftar Kejuruteraan ASEAN (AER) sebagai sebahagian daripada CAFEO 39.
AER ialah pendaftar seluruh pasukan kejuruteraan termasuk jurutera, juruteknologi kejuruteraan, juruteknik, dan rakan sekutu yang berkaitan dari 10 buah negara anggota ASEAN di mana terdapat 10,754 ahli setakat ini. AER Brunei diketuai oleh Pendaftar Negara, Dato Paduka Ir Othman Yaakub.
Antara perkara lain yang dibincangkan ialah mobiliti jurutera dalam ASEAN, penyeragaman piawaian utama dan peluang untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam kalangan ahli.