Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Seorang lelaki tempatan berbangsa Dusun, Awang Airolvin bin Sisir, 29 tahun, memilih agama Islam sebagai pegangan hidupnya dengan melafazkan Dua Kalimah Syahadah di hadapan pegawai pengislaman dari Pusat Dakwah Islamiah (PDI), hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis pengislaman tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan lafaz ikrar Dua Kalimah Syahadah oleh Awang Airolvin, yang kemudian memilih nama Islamnya sebagai Airolvin Furqan bin Sisir.
Majlis pengislaman tersebut telah disempurnakan oleh pegawai-pegawai dari Unit Pengislaman, Bahagian Pengembangan Dakwah, PDI.
Seramai 220 orang telah memeluk agama Islam di seluruh negara dari bulan Januari hingga Jun 2018, di mana seramai 115 orang daripadanya adalah dari Daerah Brunei dan Muara. Manakala sepanjang tahun 2017, seramai 409 orang telah memeluk agama Islam di seluruh negara.
