KUCHING, 23 JAN – Cahya Mata Cement Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Cahya Mata Sarawak Bhd menyasarkan untuk menggandakan kapasiti pengeluaran klinker menerusi pembangunan kemudahan baharu, Clinker Line 2 di Mambong.
Cahya Mata Cement dalam satu kenyataan hari ini berkata, projek itu ditetapkan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran simen di Sarawak selain memenuhi permintaan infrastruktur negeri yang semakin meningkat untuk 15 tahun akan datang.
“Clinker Line 2 akan mengambil masa kira-kira 24 bulan untuk disiapkan. Ia akan menggabungkan ciri-ciri terkini untuk meningkatkan prestasi alam sekitar dan kecekapan tenaga,” katanya. Barisan pengeluaran baharu itu akan dibangunkan dengan kerjasama Sinoma Industry Engineering (M) Sdn Bhd berikutan perjanjian perundingan teknikal yang dimeterai pada November 2023 meliputi reka bentuk dan pembinaan seterusnya barisan klinker serta mengoptimumkan kemudahan pengeluaran klinker sedia ada.
Setelah siap pada Mac 2027, Clinker Line 2 akan mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan tambahan 6,000 tan metrik klinker setiap hari sekali gus menggandakan kapasiti pengeluaran tahunan Cahya Mata Cement daripada 900,000 tan kepada 1.92 juta tan.
Kemudahan baharu itu akan menampilkan sistem pemulihan haba sisa yang mampu menjana kuasa sehingga 6.0 megawatt, sistem penapisan habuk termaju untuk mengurangkan pelepasan sebanyak 50 peratus dan peralatan yang direka untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon dioksida. – Bernama