Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Negara Brunei Darussalam akan melaksanakan Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk, 2020 bermula 1 Oktober ini dengan semua warganegara yang hendak keluar dari atau masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui pos-pos kawalan darat sama ada menggunakan kenderaan ataupun berjalan kaki dikenakan caj $3 seorang bagi setiap satu hala perjalanan.
“Sebagai contoh, bagi perjalanan ulang alik ke Miri, Sarawak akan dikenakan caj pada kadar $6 setiap orang.”
Perkara itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah pada Sidang Media Bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Beliau berkata bahawa sebagai susulan kepada beberapa siaran akhbar yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan selaras dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kewangan dan Ekonomi melaksanakan Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk, bermula 1 Oktober 2020.
Beliau menambah bahawa walau bagaimanapun caj perkhidmatan itu adalah dikecualikan kepada beberapa kategori antaranya pegawai-pegawai kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam menjalankan tugas-tugas rasmi bagi pihak kerajaan; kanak-kanak berumur dua tahun dan ke bawah; pegawai dan kakitangan konsular yang dinyatakan di dalam Article 1 in the First Schedule to the Consular Relations Act (Chapter 118) dan ahli keluarganya; dan ejen diplomatik yang dinyatakan di dalam Schedule to the Diplomatic Priveleges (Vienna Convention) Act (Chapter 117).

Dalam hubungan itu, mereka yang berhasrat untuk membuat perjalanan keluar dari atau masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui pos-pos kawalan darat hendaklah mendaftar dan menghadapkan permohonan melalui Exit and Entry System (EES) Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) yang boleh diakses melalui www.bdnsw.mofe.gov.bn.
Mereka yang hendak membuat perjalanan melalui pos-pos kawalan darat perlu terlebih dahulu membuat pendaftaran, permohonan dan pembayaran melalui EES. Dokumen perjalanan hendaklah sekurang-kurangnya sah tidak kurang tiga bulan sebelum membuat perjalanan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Permohonan Frequent Commuters Pass (FCP) bolehlah dibuat melalui portal JPM, www.pmo.gov.bn.
Pemohon FCP yang telah mendapat kebenaran dari Jabatan Perdana Menteri bolehlah seterusnya membuat pendaftaran secara dalam talian (online) www.bdnsw.mofe.gov.bn.
Tatacara permohonan FCP di dalam EES boleh diperoleh di laman sesawang JKED.
Dalam hubungan itu juga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew mengingatkan bahawa tegahan bagi seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk keluar negeri adalah masih dikekalkan sepertimana jua nasihat Kementerian Kesihatan sebelum ini.
Yang Berhormat Dato menyatakan lagi bahawa bagi sebarang maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi JKED, Kementerian Kewangan dan Ekonomi di talian 2382361 atau 8323741 pada waktu pejabat atau melalui e-mel info@customs.gov.bn.