Caj perintah bayaran keluar, masuk 1 Ogos ini

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Setiap warganegara termasuk warganegara Brunei Darussalam yang akan keluar dan masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui pos-pos kawalan darat akan dikenakan caj $3 sehala dengan Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk, 2020 dikuatkuasakan bermula 1 Ogos ini.

Dengan perintah itu juga, ia akan memansuhkan caj Tol Jambatan Rasau, Kuala Belait bermula pada 1 Ogos.

Kementerian Kewangan dan Ekonomi memaklumkan mengenai perintah berkenaan atas menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Perintah itu, jelas kenyataan, memberi kuasa kepada pengawal kastam dan eksais diraja, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk mengenakan caj ke atas setiap orang yang akan keluar dari atau masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui pos-pos kawalan darat.

Kenyataan menyatakan lagi bahawa objektif utama pelaksanaan caj berkenaan ialah untuk menyelaraskan bayaran dan caj-caj yang telah dikenakan dan sedang berjalan pada masa ini kepada orang ramai yang keluar dari atau masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui udara dan laut.

Gambar fail pada Mac lalu menunjukkan sebuah kenderaan ketika diperiksa semasa melalui Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh. Setiap warganegara termasuk warganegara Brunei Darussalam yang akan keluar atau masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui pos-pos kawalan darat akan dikenakan caj $3 dengan Perintah Bayaran Keluar dan Bayaran Masuk, 2020 dikuatkuasakan bermula 1 Ogos ini. – Gambar oleh Daniel Lim

Caj itu akan dikenakan kepada semua warganegara termasuk warganegara Brunei di pos-pos kawalan darat sama ada menggunakan kenderaan ataupun berjalan kaki dengan kadar caj sebanyak $3 seorang bagi setiap satu hala perjalanan.

Sebagai contoh, bagi perjalanan ulang-alik ke Miri, Sarawak akan dikenakan $6 setiap orang, menurut kenyataan itu.

Caj perkhidmatan itu adalah dikecualikan bagi kategori-kategori iaitu orang yang dalam kenderaan yang dimiliki oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan kerajaan luar negara bagi tujuan rasmi, kenderaan yang dimiliki oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, kenderaan yang digunakan bagi tujuan kebakaran, ambulans dan polis serta kenderaan yang digunakan bagi tujuan pengebumian, pegawai-pegawai kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam menjalankan tugas-tugas rasmi bagi pihak kerajaan, kanak-kanak berumur dua tahun dan ke bawah, pegawai dan kakitangan konsular yang dinyatakan dalam Article 1 in the First Schedule to the Consular Relations Act (Chapter 118) dan ahli keluarganya serta ejen diplomatik yang dinyatakan dalam Schedule to the Diplomatic Priveleges (Vienna Convention) Act (Chapter 117).

Dalam hubungan itu, mereka yang berhasrat untuk membuat perjalanan keluar dari atau masuk ke Negara Brunei Darussalam melalui pos-pos kawalan darat hendaklah mendaftar dan menghadapkan permohonan melalui Exit and Entry System (EES), JKED yang boleh diakses melalui https://login.bdnsw.gov.bn/ees.

Kenyataan menjelaskan bahawa tatacara membuat permohonan adalah sama seperti penggunaan Vehicle Entry-Exit System (VES) yang telah diperkenalkan oleh JKED pada masa ini.

Walau bagaimanapun, mereka yang hendak membuat perjalanan keluar dari dan masuk ke negara ini hendaklah memasukkan maklumat pemandu dan setiap penumpang yang akan ikut serta dalam perjalanan berkenaan dan pembayaran bolehlah dibuat secara dalam talian (online).

Kementerian Kewangan dan Ekonomi turut menasihatkan mereka yang hendak membuat perjalanan melalui pos-pos kawalan darat di Brunei untuk mendaftar, membuat permohonan dan pembayaran melalui sistem berkenaan terlebih dahulu.

Dokumen perjalanan hendaklah sekurang-kurangnya sah tidak kurang tiga bulan sebelum membuat perjalanan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).

Sehubungan dengan itu, jerayawara akan dibuat kepada para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di seluruh daerah bermula hari ini. Memandangkan situasi wabak COVID-19 pada masa ini, tatacara adalah sebagaimana yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan di mana kemasukan ke dalam dewan-dewan hendaklah terlebih dahulu mengimbas kod QR melalui sistem BruHealth.

Para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung yang akan hadir ke sesi jerayawara dinasihatkan untuk mengemas kini maklumat dalam aplikasi BruHealth masing-masing sebelum menghadiri jerayawara yang dimaksudkan.

JKED melalui jabatan daerah, KHEDN akan mengeluarkan surat jemputan kepada para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung bagi maksud yang berkenaan.

Kenyataan itu menyatakan harapan supaya semua penghulu mukim dan ketua-ketua kampung untuk hadir mengikut tarikh dan masa yang telah ditetapkan dalam surat jemputan yang dikeluarkan oleh pihak JKED melalui jabatan daerah, KHEDN.

Dalam hubungan itu juga, diperingatkan bahawa tegahan bagi seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk keluar negeri masih dikekalkan sepertimana nasihat Kementerian Kesihatan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, bagi orang ramai yang perlu untuk membuat perjalanan keluar dan telah mendapatkan kebenaran dari Jabatan Perdana Menteri, maka caj perkhidmatan pada kadar $3 seorang bagi setiap satu hala perjalanan adalah dikenakan mulai pada 1 Ogos kecuali bagi kategori-kategori yang dinyatakan.

Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut, mereka boleh menghubungi JKED, Kementerian Kewangan dan Ekonomi di talian 2382361 atau 8323741 pada waktu pejabat atau melalui e-mel [email protected]