Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Kementerian Kesihatan menegaskan bahawa pelaksanaan Dasar Caj Perkhidmatan Kesihatan, yang mula berkuat kuasa 1 Julai yang lalu merupakan langkah penting ke arah memastikan kelestarian dan keupayaan sistem kesihatan negara dalam jangka panjang.
Perkara berkenaan dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhomat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa menjawab pertanyaan lisan Yang Berhormat Awang Lau How Teck, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed dan Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin pada Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Kali Ke-21, Sesi Kedua, di Dewan Majlis kelmarin.
Menteri Kesihatan berkata, pendekatan yang diambil mencerminkan komitmen kerajaan untuk menghadapi cabaran masa depan secara proaktif dan inklusif melalui kajian menyeluruh terhadap kos rawatan serta dasar pemberian perkhidmatan kesihatan.
“Dasar ini bukan bersifat diskriminasi, sebaliknya bertujuan memperkasakan sistem kesihatan dan memastikan tiada jurang kesihatan berlaku. Pelaksanaan dilakukan dengan penuh pertimbangan terhadap kemampuan kewangan, keperluan rawatan perubatan dan situasi sebenar kehidupan mereka yang terkesan,” jelas beliau.
Bagi mereka yang menghadapi kesulitan kewangan, penilaian kelayakan akan dijalankan dan sekiranya layak, bantuan boleh dirujuk melalui beberapa saluran seperti Tabung Amal Bantuan Pesakit, Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal (JUZWAB), Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah atau menerusi bayaran secara ansuran.
Kementerian turut menggalakkan golongan yang terkesan mempertimbangkan insurans kesihatan sebagai langkah persediaan, sebagaimana diamalkan di banyak negara lain, bagi mengurus risiko kewangan dalam penjagaan kesihatan.
Menjawab kebimbangan berkaitan pemohon warga emas yang masih menunggu kelulusan kewarganegaraan, Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa walaupun proses kelulusan bukan di bawah kawalan kementerian, golongan ini tetap boleh memohon bantuan melalui saluran-saluran yang telah ditetapkan.
Beliau turut menegaskan bahawa kementerian tidak akan mengabaikan pesakit yang memerlukan rawatan dengan mempertimbangkan kesihatan awam sebagai keutamaan dalam setiap keputusan.
Mengenai pelan hala tuju pembiayaan kesihatan jangka panjang, kementerian akan terus melaksanakan kajian berterusan untuk mengenal pasti serta mengatasi masalah yang timbul. Mekanisme pemantauan merangkumi analisis tren permohonan bantuan kewangan, maklum balas daripada kakitangan barisan hadapan, dan tinjauan kepuasan pengguna perkhidmatan yang terkesan.
“Pelan perancangan ini akan dilaksanakan sebagai salah satu aktiviti utama Kementerian Kesihatan,” ujar beliau mengakhiri jawapan.


