Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cakoi Viral 10 perisa unik

    Oleh Yusrin Junaidi

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Bermula dengan jualan cakoi biasa sahaja, kini Cakoi Viral 5754 mempunyai 10 perisa unik yang berwarna-warni.

    Pemiliknya, Dayang Nurnadzirah binti Mohd Jailaini ketika ditemu bual hari ini menceritakan bahawa beliau memulakan perniagaan berkenaan bersama ahli keluarga pada November 2016 di rumah sendiri dan sekarang membuka gerai mereka di Kampung Tungku.

    Setelah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, Cakoi Viral kini mempunyai 10 perisa iaitu Vanila, Coklat, Cadbury, Oreo, Mentega, Kacang, Pandan, Keladi, Durian dan Sardin.

    Perisa yang paling laris adalah Coklat Cadbury dan Pandan, yang menurutnya, hampir habis dijual setiap hari.

    Katanya lagi, pelanggan selalu menempah CV5754 Mix Box yang mengandungi setiap perisa (termasuk Cakoi Mentega, Kaya dan Kawin) dan Kad CV5754 Loyalty serta stiker kereta CV5754 juga diberikan kepada pelanggan yang membeli satu Mix Box yang selalu mendapat permintaan yang tinggi dan sambutan yang menggalakkan.

    Dayang Nurnadzirah menggoreng cakoi tempahan pelanggan sambil ditemu bual Media Permata.
    Dayang Nurnadzirah menyerahkan cakoi Mix Box kepada pelanggan.

    Dalam pada itu, beliau juga mengongsikan tip menjalankan perniagaan dengan sentiasa
    menjaga keselesaan pelanggan.

    “Kualiti makanan, pengalaman, pengetahuan dan kemahiran dalam penyediaan makanan serta mengendalikannya adalah asas yang tidak boleh dipandang remeh.

    “Saya menjaga perkara ini kerana kepuasan pelanggan akan memacu perkembangan ini yang diusahakan sejak tahun lepas,” katanya sambil memasak cakoi tempahan pelanggan.

    Tambahnya lagi, memang setiap usaha ada cubaannya dan beliau juga tidak terlepas menghadapi pelbagai cabaran dalam menguruskan perniagaan berkenaan.

    “Saya amat bersyukur kerana ahli keluarga saling bantu-membantu sesama sendiri. Kami menghadapinya dengan sabar dan sentiasa berfikiran positif kerana bukan mudah untuk berada pada tahap sekarang.

    “Saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi kerana saya mahu fokus kepada perniagaan makanan yang mempunyai potensi yang besar,” tambah Dayang Nurnadzirah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda