Di sebalik kejayaan menambat hati juri semasa sesi uji bakat program realiti America’s Got Talent 2023 (AGT 2023) baru-baru ini, penyanyi Cakra Khan mengakui dirinya berdepan perasaan gementar luar biasa.
Kata Cakra atau Cakra Konta Paryaman, 31, perasaan gugup keterlaluan itu mungkin disebabkan dia bertanding di luar negara sendirian tanpa ditemani individu dikenalinya.
“Dulu saya juga pernah mengikuti pertandingan di Indonesia cuma belum ada rezeki. Jika ditanya perbezaanya tidak ketara sangat kerana proses menunggu, latihan sebelum persembahan semuanya sama.
“Setiap kali membuat per-sembahan pentas memang saya akan merasa gementar cuma bezanya kalau di Indonesia saya punya pengurus di belakang pentas.
“Di AGT 2023, saya sendiri! Saya tidak kenal sesiapa melainkan para juri. Tekanan yang dirasai sangat luar biasa,” katanya kepada mStar.
Cakra berkongsi perkara itu menerusi sidang media Dream Festival Collaboration Vol 4 – Cakra Khan Live in Kuala Lumpur yang diadakan secara maya kelmarin.
Bagi menghilangkan rasa gementar yang dihadapi, penyanyi lagu Kekasih Bayangan itu memberitahu dia hanya memberikan fokus kepada nyanyiannya tanpa memikirkan komen yang akan diberikan juri.
Tambah Cakra, ketika Simon Cowell memberhentikan nyanyian pertamanya, dia menyangka juri tetap berkenaan tidak menyukai persembahannya itu.
“Sewaktu menyanyi, saya rapatkan mikrofon di dada dan di dalam kepala saya hanya memikirkan soal nyanyian.
“Sejujurnya selepas sahaja menyanyi,saya tidak lagi memikirkan apa kata juri yang penting saya sudah selesai membuat persembahan,” tambahnya. – Agensi