LISBON, 25 FEB – Pengilang bateri litium China, CALB, mengumumkan rancangan kelmarin untuk membina kilang Eropah pertamanya di Portugal, pelaburan dua bilion euro (AS$2.1 bilion) yang diharapkan dapat membantunya menembusi pasaran kereta elektrik di benua itu.
CALB berkata ia akan mengadakan majlis pecah tanah tahun ini di kilang di Sines, kira-kira 100 kilometer selatan Lisbon, yang dijangka mula membekalkan pasaran Eropah menjelang 2027 dan beroperasi sepenuhnya pada 2028.
“Kami memilih Portugal untuk menubuhkan kilang giga Eropah kerana kelebihan strategiknya,” Pengerusi Lembaga syarikat itu, Liu Jingyu, berkata dalam satu acara di Lisbon ketika membentangkan projek itu.
Portugal mempunyai beberapa rizab litium terbesar di dunia, bahan utama dalam bateri yang menggerakkan kereta elektrik, dianggarkan pada 60,000 tan, menurut Tinjauan Geologi AS.
Menteri Ekonomi Portugal, Pedro Reis berkata pengumuman itu sebagai satu kejayaan besar untuk Portugal.
CALB dalam satu kenyataan berkata ia mahu mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran kereta elektrik dan simpanan tenaga Eropah.
Syarikat itu berharap pelaburan itu dapat mewujudkan kira-kira 1,800 pekerjaan secara langsung di loji itu, yang akan mempunyai kapasiti simpanan tenaga 15 gigawatt, katanya. – AFP
