HONG KONG, 29 Dis – Sebuah syarikat pembelian pesawat mengumumkan semalam untuk membeli 50 buah pesawat Airbus jet A320neo yang bernilai AS$5.42 bilion sebagai usaha untuk meningkatkan perjalanan udara yang semakin mendapat permintaan di China.
China Aircraft Leasing Group (CALC) yang disenaraikan di China akan membuat penghantaran pesawat itu secara berperingkat sehingga 2023, menurut satu kenyataan.
Langkah tersebut dibuat setelah syarikat penerbangan di China meraih manfaat daripada ledakan dalam perjalanan domestik dan antarabangsa memandangkan kelas pertengahan di negara itu berbelanja dengan membuat perjalanan dan percutian.
Ia juga sebagai rangsangan terhadap syarikat gergasi Eropah, Airbus yang bersaing dengan Boeing AS di China, pasaran pesawat kedua terbesar dunia.
Syarikat AS itu meramalkan China memerlukan lebih 7,200 pesawat komersial dalam tempoh 20 tahun akan datang, sementara Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa meramalkan negara itu akan menggantikan AS sebagai pasaran perjalanan udara terbesar dunia menjelang 2024.
Tiga buah syarikat penerbangan terbesar negara itu – Air China, China Eastern dan China Southern berhasrat untuk menambahkan jumlah pesawatnya kepada lebih 600 buah pesawat secara keseluruhan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Ketua eksekutif CALC Mike Poon mengatakan: “Kami berbangga untuk menambah pesawat kami dengan pertambahan sebanyak 50 pesawat jet A320neo yang mempunyai kecekapan bahan api yang luar biasa, dipercayai dan selesa.
“Sejak penubuhan CALC, kami telah mengekalkan hubungan rapat dan dinamik bersama Airbus dan komitmen itu menandakan satu lagi kepercayaan bersama kami.” – AFP