LOS ANGELES, 4 JULAI – Lebih 300 anggota bomba telah bertarung kelmarin untuk memadam kebakaran besar di California, negeri yang kini berdepan kebimbangan kebakaran hutan musim panas ketika Presiden Donald Trump sedang mengurangkan bajet agensi persekutuan yang ditugaskan menangani bencana iklim.
Kebakaran ‘Madre’ tercetus pada Rabu di San Luis Obispo, sebuah daerah luar bandar di tengah-tengah negeri itu.
Sekitar 200 orang telah diarahkan berpindah, dengan puluhan bangunan terancam oleh api marak.
Insiden itu merupakan kebakaran terbesar setakat ini di California pada tahun ini, yang sebelum ini dilanda kebakaran hutan besar yang memusnahkan sebahagian besar kawasan Los Angeles pada awal tahun.
Kebakaran itu telah merebak dengan pantas dalam tempoh 24 jam, ia telah memusnahkan lebih 52,000 ekar, menurut perkhidmatan bomba negeri, Cal Fire.
Imej daripada sistem amaran negeri menunjukkan kepulan asap hitam tebal menyelubungi kawasan pergunungan di rantau yang berbukit dan terpencil itu.
“Negeri itu akan sentiasa hadir untuk melindungi semua komuniti tidak kira di mana kebakaran bermula,” kata Gabenor California Gavin Newsom di platform X, sambil mengumumkan penghantaran pasukan bantuan tambahan.
Kebakaran “Madre” berlaku selepas beberapa siri kebakaran lain, menimbulkan kebimbangan bahawa musim panas ini bakal menjadi sukar buat negeri yang masih trauma dengan tragedi kebakaran yang meragut 30 nyawa pada Januari lalu.
Menurut pakar peristiwa iklim ekstrem dari UCLA, Daniel Swain, musim sejuk dan musim bunga yang luar biasa kering di selatan California telah menyebabkan tumbuh-tumbuhan menjadi sangat kering. – AFP


