Tuesday, December 3, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    California dilanda salji, hujan lebat

    CALIFORNIA, 22 MAC – Ribut Pasifik kuat akhir musim yang membawa hujan dan salji ke wilayah California telah meragut dua nyawa setakat ini. Pakar cuaca meramalkan banjir mungkin berlaku pada hari ini di beberapa kawasan di negara itu.

    Ribut yang melanda kelmarin di kawasan tengah dan selatan California, membawa ancaman hakisan yang teruk dan salji lebat di kawasan gunung. Di bahagian utara, ribut yang sangat kuat telah dilaporkan di Sacramento, ibu negeri negara itu.

    Amaran cuaca daripada Perkhidmatan Cuaca Negara telah dikeluarkan hari ini mengtakan hujan lebat setempat dan salji yang mencair mungkin mengakibatkan banjir di kawasan selatan California dan tengah Arizona.

    Kelmarin, beberapa penduduk di utara-tengah Arizona diberitahu supaya bersiap sedia untuk berpindah disebabkan paras air di sungai dan kawasan lembangan semakin meningkat.

    Pokok dan tiang elektrik dilaporkan tumbang di kawasan Teluk San Francisco. Sebuah kereta api Amtrak yang membawa 55 orang penumpang terlanggar pokok yang tumbang dan terbabas daripada landasan berdekatan dengan kampung Porta Costa di East Bay. Kereta api itu masih dalam keadaan baik dan tiada orang mengalami kecederaan, kata Amtrak dan pegawai bomba.

    Di komuniti Portola Valley di kawasan Teluk, seorang lelaki yang memandu trak kumbahan terbunuh apabila pokok tumbang ke atas kenderaan itu, kata California Highway Patrol.

    Di kawasan Teluk Monterey, ribut angin yang kencang dari laut melanda Santa Cruz County dengan angin kencang hingga 129 kilometer sejam pada tengah hari. Di sepanjang pantai Sanctuary Marin Monterey Bay, busa laut berhamburan di sepanjang jalan seperti emping salji besar.

    Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata bahawa ribut itu adalah sistem tekanan rendah Pasifik yang berinteraksi dengan sungai atmosfera ke-12 California sejak akhir Disember. – AP

    Sebuah kenderaan memandu melepasi pokok tumbang di sepanjang Big Basin Way semasa kejadian ribut atmosfera terbaharu di Boulder Creek, California. – AP
    Seorang penduduk melihat keadaan sebuah kenderaan yang ditimpa pokok yang tumbang akibat angin ribut di California. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda