SACRAMENTO, 2 JAN – California menggubal undang-undang baharu bertujuan mengurangkan beban kerja rumah untuk pelajar di seluruh negeri berkenaan kelmarin.
Akta Kerja Rumah Sihat yang dicadangkan menjadi undang-undang oleh Gavin Newsom pada September 2024, mula berkuat kuasa pada hari pertama 2025.
Matlamat utamanya adalah untuk mempromosikan amalan kerja rumah berasaskan bukti untuk menyokong pembelajaran dan kesejahteraan pelajar, serta konsistensi dan kejelasan dalam tugasan.
Rang undang-undang itu pada mulanya diperkenalkan oleh wakil California, Pilar Schiavo untuk tangani kebimbangan mengenai tekanan pelajar, ekuiti pendidikan dan keberkesanan keseluruhan kerja rumah, kerana pelajar termasuk anak perempuannya, sering mengadu tentang kerja rumah yang ‘membebankan’.
Walau bagaimanapun, undang-undang itu tidak bermakna negeri berkenaan akan mengharamkan kerja rumah sama sekali. Sebaliknya, ia memerlukan agensi pendidikan tempatan (LEA) untuk membangunkan, menerima pakai dan mengemas kini dasar kerja rumah secara kerap untuk semua peringkat gred, daripada tadika peralihan hingga gred ke-12.
Untuk membantu proses tersebut, Jabatan Pendidikan California akan mengeluarkan garis panduan untuk daerah sekolah selewat-lewatnya pada 1 Januari 2026, menyediakan sumber yang lengkap untuk LEA membangunkan dasar kerja rumah mereka.
Sesetengah pendidik dan ibu bapa pula bimbang bahawa menurunkan keperluan kerja rumah mungkin menjejaskan standard akademik.
Oleh itu, penyokong langkah tersebut berhujah bahawa undang-undang baharu berkenaan bukanlah memansuhkan kerja rumah sepenuhnya tetapi menjadikannya lebih teratur dan menyokong kesejahteraan pelajar. – Xinhua