Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    California hadkan penggunaan straw plastik

    LOS ANGELES – Kebanyakan restoran di California akan berhenti memberikan straw plastik kepada pelanggan mereka kecuali pelanggan itu memintanya dan amalan itu telah termaktub dalam undang-undang baharu yang telah ditandatangani baru-baru ini oleh gabenor alam sekitar.

    Gabenor Jerry Brown berkata bahawa dia berharap langkah itu akan dapat dilaksanakan sepenuhnya pada tahun hadapan dan merupakan yang pertama dilakukan di seluruh negara Amerika Syarikat dalam usaha mereka untuk mendorong orang ramai untuk berhenti dan berfikir sekali gus menggunakan cara alternatif sebelum meminta straw plastik.

    “Namun ia merupakan satu langkah yang kecil bagi menghentikan para pelanggan yang meminta straw plastik,” kata Brown dalam satu kenyataan.

    “Namun apa yang pasti, kita mesti mencari cara apa sekali pun untuk mengurangkan dan menghapuskan salah satu produk plastik ini,” tambah gabenor itu yang terkenal sebagai seorang pencinta alam sekitar dan menjadi ikon penting Amerika Syarikat dalam menangani masalah perubahan iklim.

    Di bawah undang-undang baharu itu nanti, pihak restoran di California yang tidak mematuhi undang-undang itu nanti akan menerima dua amaran sebelum didenda sebanyak AS$300 setahun.

    California bakal mengehadkan penggunaan straw plastik bagi usaha mereka untuk mengurangkan sisa buangan plastik yang semakin meningkat di seluruh dunia. – AFP

    Kepentingan alam sekitar

    Brown turut memberikan amaran bahawa plastik dalam apa saja bentuk boleh ‘mencekik’ bumi malah sejumlah besar produk plastik telah dibuang ke laut setiap tahun serta membunuh kehidupan laut.

    “Plastik telah membantu memajukan inovasi dalam masyarakat kita tetapi kerakusan kita terhadapnya telah membawa kepada kesan yang lebih buruk khususnya terhadap alam sekitar,” tambahnya.

    Undang-undang baharu itu dibuat bertepatan dengan program peningkatan kesedaran di seluruh dunia mengenai krisis sisa plastik global di mana Kesatuan Eropah pada bulan Mei lalu telah mencadangkan pengharaman straw plastik dan produk-produk plastik yang lain seperti sudu serta botol plastik menjelang tahun 2025.

    Perancis pula merancang untuk memperkenalkan sistem penalti pada tahun depan bagi meningkatkan kos barangan pengguna yang diperbuat daripada plastik, termasuk plat, cawan dan juga perkakas makan seperti sudu dan garpu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda