SACRAMENTO, CALIFORNIA, 27 MEI – Penggubal undang-undang California tidak lama lagi akan melarang kucing diketip kuku hanya demi kesenangan manusia, dengan mengemukakan rang undang-undang semalam untuk menghentikan apa yang dikatakan aktivis hak haiwan sebagai satu prosedur menyakitkan yang digunakan untuk mengelak perabot terkoyak dan kulit luka akibat dicakar kucing.
Kuku kucing membesar dari tulang, bukannya kulit. Mengerat kuku tersebut ada kalanya memerlukan sebahagian tulang dipotong, sementara prosedur lain memutuskan tendon untuk menghalang kucing daripada mengeluarkan kukunya.
Aktivis hak haiwan telah lama mengatakan mengetip kuku kucing adalah bersifat tidak berperikemanusiaan apabila dilakukan semata-mata memanfaatkan manusia, berkata prosedur tersebut adalah menyakitkan, menyebabkan haiwan itu tidak dapat melindungi dirinya dan boleh mengakibatkan masalah kesihatan lain.
Persatuan Perubatan Veterinar Amerika ‘tidak menggalakkan proses mengerat kuku sebagai satu prosedur elektif,’ berkata ia tidak perlu dari segi perubatan dalam kebanyakan kes. Namun persatuan itu berkata ia perlu ada kalanya ‘apabila tingkah laku keterlaluan kucing yang mencakar menimbulkan risiko kecederaan atau membawa pembinasaan yang tidak dapat diterima.’
Rang undang-undang yang diluluskan Perhimpunan semalam akan mengharamkan proses mengeratkan kuku kecuali untuk tujuan perubatan, misalnya mencegah jangkitan berulang, penyakit, kecederaan atau keadaan abnormal yang menjejas kesihatan kucing.
Rang itu secara khusus melarang mengetip kuku ‘untuk tujuan estetik atau menjadikan kucing lebih senang dipelihara.’
Ahli Perhimpunan Demokratik Alex Lee berkongsi mengenai kucingnya, Soba, dan berkata ‘amat menyayat hati apabila mengetahui kucing akan diketip kuku.’
“Jika seekor kucing dikerat tulang jarinya, satu-satunya pertahanan haiwan ini adalah gigi,” kata Lee. “Dan mengalami gigitan daripada kucing saya, saya lebih rela dicakar daripada digigit oleh kucing saya sendiri.” – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/05/P13-B_28052022.jpg)