California sekat jualan kenderaan berkuasa petrol

WASHINGTON, 24 SEPT – Gabenor California Gavin Newsom semalam menandatangani perintah eksekutif yang melarang penjualan kenderaan baharu berkuasa petrol di negeri ini pada 2035, lapor agensi berita Anadolu.

Laporan itu menyatakan, menurut perintah berkenaan, pada tahun tersebut, semua kereta baharu dan trak penumpang yang dijual di California diwajibkan terdiri daripada kenderaan tanpa pelepasan asap.

Pejabat gabenor dalam satu kenyataan berkata sektor pengangkutan bertanggungjawab terhadap lebih separuh daripada semua pencemaran karbon di California, 80 peratus pencemaran asap dan 95 peratus pelepasan toksik diesel.

Menyebut langkah itu sebagai “langkah paling berkesan” untuk menangani perubahan iklim, Newsom berkata asap kereta telah mencemarkan udara yang dihidu oleh anak-anak dan keluarga Amerika.

“Penduduk California tidak perlu risau jika kereta kita menyebabkan anak-anak mendapat asma.  Kereta kita tidak sepatutnya menjadikan ia lebih teruk – dan menjadikan udara harian dipenuhi asap. “Kereta tidak boleh menjadi punca  yang mencairkan glasier atau meningkatkan paras air laut yang mengancam pantai dan pesisirnya yang kita hargai,” katanya dalam kenyataan itu.

Perintah eksekutif itu tidak akan menghalang warga California untuk memiliki kereta berkuasa gas atau menjualnya di pasaran kereta terpakai, kata laporan AA.

Langkah itu dijangka dapat mencapai lebih 35 peratus pengurangan pelepasan gas rumah hijau dan peningkatan 80 peratus dalam pelepasan nitrogen oksida dari kereta di seluruh negara, menurut kenyataan itu. – Bernama

Kelihatan stesen mengecas Tesla pada 23 September 2020 di Petaluma, California. Gabenor Gavin Newsom telah menandatangani satu perintah eksekutif mewajibkan semua kenderaan yang dijual dalam negeri merupakan kenderaan sifar pelepasan gas karbon pada 2035. – AFP