SACRAMENTO, 10 MEI – California bakal menggunakan alat kecerdasan buatan (AI) generatif untuk membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan menyediakan perkhidmatan cukai lebih cekap di bawah perjanjian baharu yang diumumkan kelmarin sebagai sebahagian usaha gabenor, Gavin Newsom untuk memanfaatkan teknologi baharu untuk perkhidmatan awam.
Negeri itu bekerjasama dengan lima syarikat untuk mencipta alat AI generatif menggunakan teknologi seperti OpenAI yang disokong Microsoft, Anthropic yang disokong Google dan Amazon, kata pegawai pentadbiran.
“Ini petanda yang sangat baik apabila syarikat-syarikat ini memberikan tumpuan mereka untuk menggunakan GenAI untuk penyampaian perkhidmatan kerajaan,” kata Amy Tong, setiausaha operasi kerajaan untuk California.
Syarikat-syarikat itu akan memulakan percubaan dalaman selama enam bulan di mana alat-alat AI itu diuji dan dinilai oleh pekerja negeri dan dibayar AS$1 untuk setiap cadangan mereka. Kemudian negeri itu boleh menilai semula sama ada sebarang alat AI boleh dilaksanakan sepenuhnya di bawah kontrak baharu. Semua alat AI itu dianggap berisiko rendah, bermakna ia tidak berinteraksi dengan data sulit atau maklumat peribadi, kata jurucakap pentadbiran.
Jabatan Pengangkutan California sedang mencari alat AI untuk menganalisis data trafik dan menghasilkan penyelesaian untuk mengurangkan lalu lintas dan menjadikan jalan raya lebih selamat.
Sementara itu, Jabatan Pentadbiran Cukai dan Yuran negeri pula mahukan alat AI untuk mengurangkan masa menunggu dan tempoh panggilan selain boleh melayan pelanggan bukan penutur bahasa Inggeris.
Alat AI itu direka untuk membantu pekerja negeri, bukan menggantikan mereka, kata Nick Maduros, pengarah Jabatan Pentadbiran Cukai dan Yuran. – AP


