Kumpulan Caliph Buskers membuat keputusan membatalkan persembahan bersama satu syarikat ternama, bagi menghormati pemergian cahaya mata sulung vokalis mereka, Azmi Saat.
Pemain drumnya, Fendy Adlun dihubungi berkata, Caliph Buskers sepatutnya terbabit dalam rakaman persembahan virtual untuk sebuah syarikat terkemuka, hari ini.
“Namun dengan dugaan duka menimpa Azmi pada hari ini juga, kami akhirnya buat keputusan membatalkan terus persembahan itu sebagai menghormati kesedihan Azmi dan isterinya.
“Penganjur nak cepat tetapi kami perlu faham perasaan Azmi dan isterinya, Nazira Muhammad. Akhirnya kami putuskan untuk batalkan terus persembahan nyanyian itu.
“Insya Allah, duit esok lusa pun masih boleh cari. Macam saya ditimpa kesusahan pada Julai lalu, Azmi antara yang membantu. Sekarang, dia perlukan sokongan moral, dan kami pula akan bantu yang termampu,” katanya
Terdahulu, anak sulung Azmi yang dilahirkan empat hari lalu dinamakan Khairul Afnan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan, di sini, pada jam 1:19 petang.
Khairul Afnan meninggal dunia di pangkuan pasangan suami isteri itu. Selepas alat bantuan pernafasan dibuka, Azmi dan isterinya diberi peluang untuk meriba anak mereka sehingga menghembuskan nafas terakhir.
Fendy dan Zaki mewakili Caliph Buskers hadir ke hospital sekitar jam dua petang sebagai tanda sokongan buat rakan mereka itu. Menurutnya, Azmi ketika ditemui mereka berada dalam keadaan tenang dan boleh bergurau serta berbual seperti biasa.
