COLOGNE, 20 OGOS – Francais permainan video popular, Call of Duty, menjadi tumpuan utama pada pembukaan pameran perdagangan permainan video Gamescom, menampilkan keluaran terbaharu ketika industri permainan berdepan tempoh sukar.
Kira-kira 5,000 orang termasuk penerbit, pembangun dan peminat permainan hadir pada majlis pelancaran malam itu, sebelum ratusan ribu penggemar permainan membanjiri bandar Cologne di barat Jerman sepanjang minggu ini.
Pengacara TV Kanada, Geoff Keighley, akan memperkenalkan tajuk termasuk Call of Duty: Black Ops 7, salah satu daripada lebih 20 siri permainan itu, sebagai sebahagian daripada tayangan dua jam penerbitan blockbuster yang akan datang.
Selepas persidangan media hari ini, pintu Gamescom akan dibuka hingga Ahad, menghimpunkan kira-kira 1,500 pempamer dengan ribuan peminat – sebahagian daripadanya hadir dengan kostum menarik yang diinspirasikan daripada permainan video kegemaran mereka.
Acara tahun lalu menarik 335,000 pengunjung, namun penganjur berharap edisi 2025 mampu mengembalikan angka ke tahap pra-COVID sekitar 370,000.
“Kita hanya akan tahu pada hari terakhir berapa ramai yang benar-benar hadir, tetapi… tiket hari pertama sudah habis dijual, memberikan petunjuk positif,” beritahu Felix Falk, Pengarah Urusan Persatuan Industri Permainan Jerman, GAME, yang menjadi penganjur bersama Gamescom, kepada AFP menjelang pembukaan.
Antara tarikan utama di Pusat Konvensyen Koelnmesse adalah peluang mencuba sendiri keluaran terbaharu permainan yang ditawarkan di reruai besar syarikat-syarikat gergasi industri. – AFP


