Saturday, March 15, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Calon akhir Anugerah Pelangi ke-7 diumumkan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Para penonton berpeluang untuk menyaksikan persembahan para finalis bagi Anugerah Pelangi ke-7 semasa Prelude Anugerah Pelangi ke-7 yang berlangsung di Dewan Raya Radio Televisyen Brunei (RTB), Bandar Seri Begawan, kelmarin.

    Program itu dianjurkan untuk mengumumkan kepada orang ramai akan hasil undian Top 5, Anugerah Pelangi Ke-7 yang mana undiannya telah dilaksanakan pada 16 September hingga 6 Oktober lalu.

    Hadir untuk menyaksikan acara berkenaan ialah Pengarah RTB, Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu serta pegawai dan kakitangan RTB.

    Program itu menyaksikan persembahan menarik daripada beberapa orang penyanyi tanah air seperti Milin, Hans Anwar, Maria, Seniman Jalanan, Qeez Idrus, Nazmo, Juan Madial, Raudhah, Aznniel Yunus, Azim Ariffin, Daud dan Nadhirah.

    Anugerah Pelangi merupakan satu penghargaan dan pengiktirafan daripada RTB kepada artis-artis tempatan yang bergiat aktif dalam bidang seni muzik termasuk menyanyi dan mencipta lagu. Anugerah itu diadakan dua tahun sekali untuk membolehkan para penggiat seni menghasilkan lebih banyak karya yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

    Para finalis mengadakan persembahan semasa Prelude Anugerah Pelangi Ke-7 yang berlangsung di Dewan Raya RTB, Bandar Seri Begawan, kelmarin. – Gambar oleh RTB

    Bagi Anugerah Pelangi Ke- 7, tujuh kategori dipertandingkan di mana Top 5 bagi setiap kategori ialah Artis Baharu Pilihan ialah Kip Hafizuddin, Azim Ariffin, Ikhlas, Syafiqah Rosli dan Zed Peace; Vokal Lelaki Pilihan ialah Aziz Harun, Fakhrul Razi, Dayat Ahim, Zul F dan Rapul Rezal; Vokal Wanita Pilihan ialah Ezah Hashim, Puteri Norizah, Dila Junaidi dan Suzan Maidin; Vokal/ Duo/ Kumpulan Pilihan ialah A Band Once, Titanz, Seniman Jalanan, Dinshe dan Alilah & Irfan.

    Lagu Pilihan ialah Tertulis oleh Ezah Hashim, Bidadari Dunia oleh Kip Hafizuddin mempersembahkan Melvin Weii, Sendiri oleh Dayat Ahim, Berharap oleh Taswim Rozan dan Isyraf Yusri dan Mungkir oleh Rapul Rezal. Lagu Inspirasi Pilihan ialah Waktu oleh Abdus Salam, Diam oleh Ikhlas, Syurgaku oleh Alilah & Irfan, Tasbih Cinta oleh Amar Sai dan Semberono oleh Juan Madial, Aznniel Yunus, Indra & Afiq Wafi.

    Muzik Video Pilihan pula ialah Berharap oleh Taswim Rozan & Isyraf Yusri, Lelah oleh Nazmo mempersembahkan Ayesha, Kampung Boy oleh Zed Peace, Rasa Ini Cinta oleh Dila Junaidi dan Rela oleh Sueib Suhaimi.

    Para artis Top 5 akan beraksi pada Anugerah Pelangi ke-7 yang dijadualkan berlangsung pada 18 Januari 2020.

    Anugerah Pelangi itu dihasratkan sebagai pendorong kepada artis tempatan untuk menyerlahkan kreativiti dan merealisasikan pemikiran seni mereka di samping menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan artis bagi memartabatkan lagi industri hiburan di Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda