Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Calon Datuk Bandar Mexico mati ditembak

    MEXICO, 30 MEI – Seorang calon datuk bandar ditembak mati di selatan Mexico semasa perhimpunan kempen kelmarin, kata gabenor negeri Guerrero, kejadian yang terbaharu dalam beberapa serangan menjelang pilihan raya hujung minggu.

    Sebuah video yang diterbitkan oleh media tempatan menunjukkan seorang individu menghampiri Alfredo Cabrera dan menembaknya beberapa kali, menimbulkan kekecohan dan panik dalam kalangan orang ramai yang menghadiri majlis itu.

    Gabenor Guerrero, Evelyn Salgado mengutuk pembunuhan ‘pengecut’ terhadap Cabrera, calon pakatan pembangkang di bandar Coyuca de Benitez.

    Menulis di platform media sosial X, dia berkata dia telah meminta pejabat pendakwa negeri untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap orang atau individu yang bertanggungjawab.

    Kerajaan baru-baru ini berkata kira-kira 22 orang yang bertanding untuk jawatan tempatan telah dibunuh sejak September lalu.

    Beberapa pertubuhan bukan kerajaan telah melaporkan jumlah yang lebih tinggi, termasuk Data Civica, yang telah me-ngira kira-kira 30 pembunuhan ahli politik tempatan.

    Pada Selasa, seorang calon datuk bandar di negeri tengah Morelos terbunuh manakala seorang lagi cedera akibat tembakan di barat negeri Jalisco, kata pihak berkuasa.

    PRI, salah satu parti gabungan pembangkang, menuduh kerajaan ‘tidak melakukan sedikit pun usaha untuk menjamin keselamatan calon.’

    Kira-kira 27,000 askar dan anggota Pengawal Kebangsaan akan dikerahkan untuk mengukuhkan keselamatan pada Ahad, apabila rakyat Mexico keluar mengundi untuk presiden baharu, ahli Kongres, beberapa gabenor negeri dan pegawai tempatan. – AFP

    Anggota Pengawal Kebangsaan mengawal tempat kejadian jenayah di bandar Las Lomas, perbandaran Coyuca de Benitez di negeri Guerrero pada 29 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda