MOSCOW, 31 DIS – Bakal Ketua Turus Rumah Putih, Susie Wiles meminta calon untuk jawatan tertinggi dalam pentadbiran Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump supaya tidak memuat naik hantaran di media sosial tanpa kelulusan penasihat undang-undang Rumah Putih sebelum pencalonan mereka disahkan di Senat, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Walaupun arahan ini telah disampaikan sebelum ini, saya mengulangi bahawa tiada anggota pentadbiran baharu atau Pasukan Peralihan boleh bercakap bagi pihak AS atau Presiden terpilih,” kata Wiles dalam mesej yang diperoleh New York Post.
“Oleh itu, semua calon yang dicadangkan harus menahan diri daripada sebarang hantaran di media sosial tanpa kelulusan terlebih dahulu daripada peguam Rumah Putih yang akan datang.”
Menurut akhbar itu, calon Trump telah mematuhi arahan dengan tidak memuat naik hantaran di akaun media sosial awam mereka. – Bernama