Saturday, July 12, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Calon presiden Colombia kritikal selepas ditembak

    BOGOTA, 8 JUN – Seorang calon presiden berhaluan kanan yang terkenal di Colombia kini berada dalam keadaan kritikal selepas ditembak tiga kali semasa satu acara kempen di Bogota kelmarin, menurut pihak berkuasa.

    Senator Miguel Uribe, 39, sedang berucap kepada para penyokong di ibu negara apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arahnya – dua das mengenai kepala dan satu lagi mengenai lutut – sebelum suspek berjaya ditahan.

    Imej dari lokasi kejadian menunjukkan Uribe tersandar pada bonet sebuah kereta putih dalam keadaan berlumuran darah, sementara sekumpulan lelaki cuba memegangnya dan menghentikan pendarahan.

    Seorang pengawal keselamatan berjaya menahan suspek, yang dipercayai seorang remaja berusia 15 tahun.

    Uribe telah diterbangkan ke hospital dalam keadaan ‘kritikal’ dan sedang menjalani ‘pembedahan saraf’ serta ‘prosedur vaskular periferi’, menurut pengesahan Klinik Santa Fe di Bogota.

    Isteri Uribe menulis di akaun X miliknya, “dia sedang berjuang untuk hidupnya ketika ini.”

    Pengarah polis, Carlos Fernando Triana berkata suspek turut cedera dalam kekecohan itu dan sedang menerima rawatan.

    Dua individu lain – seorang lelaki dan seorang wanita – turut cedera dan sepucuk senjata api jenis Glock telah dirampas.

    “Hati kami luluh, Colombia sedang menderita,” kata Carolina Gomez, seorang usahawan wanita berusia 41 tahun kepada AFP sambil berdoa dengan menyalakan lilin untuk kesihatan Uribe. – AFP

    Miguel Uribe Turbay (tengah) meraikan selepas mengundi menolak referendum pembaharuan buruh yang dicadangkan oleh kerajaan, di Bogota, Colombia, 14 Mei. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda