JAKARTA, INDONESIA, 19 OKT – Beribu-ribu penyokong politik yang riuh rendah dan mengibarkan bendera mencipta suasana perayaan di luar suruhanjaya pilihan raya Indonesia hari ini ketika calon mula mendaftar untuk pilihan raya tahun depan di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu.
Lebih 2,400 polis dikerahkan di perkarangan Suruhanjaya Pilihan Raya Umum di Jakarta dan jalan raya disekat di sekitar bangunan itu, di mana lalu lintas sesak ketika calon presiden dan naib presiden tiba.
Anies Baswedan, calon pembangkang dan bekas gabenor Jakarta, adalah yang pertama mendaftar bagi pemilihan presiden, bersama rakannya, Muhaimin Iskandar, pengerusi Parti Kebangkitan Nasional atau PKB.
Ganjar Pranowo, calon presiden parti pemerintah dan bekas gabenor Jawa Tengah, mendaftar dengan rakannya, Muhammad Mahfud, menteri keselamatan tertinggi ketika ini.
Pemilihan untuk menggantikan Presiden Joko Widodo, yang sedang menjalani penggal kedua dan terakhir-nya, sedang membentuk persaingan tiga penjuru.
Tarikh akhir untuk calon mendaftar pilihan raya perundangan dan presiden pada 14 Februari 2024 ialah Rabu depan. – AP