SEOUL, 15 FEB – Calon-calon bagi pilihan raya presiden Korea Selatan memulakan kempen rasmi mereka hari ini dalam persaingan yang dicemari oleh perselisihan sengit mengenai dakwaan melibatkan calon utama dan keluarga mereka.
Calon parti pemerintah liberal, Lee Jae-myung dan lawan konservatifnya, Yoon Suk Yeol adalah calon utama daripada 14 calon yang berdaftar dengan pihak berkuasa pemilihan Korea Selatan. Kaji selidik baru-baru ini menunjukkan mereka dalam persaingan sengit.
Undian pada 9 Mac diadakan ketika Korea Selatan berdepan dengan isu penting seperti ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19, peningkatan program nuklear Korea Utara dan permusuhan yang semakin sengit antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Dalam kempen pertama di Seoul hari ini, Yoon menekankan isu keselamatan negara, serta berikrar untuk menyokong pemilik peniaga kecil dan menyelesaikan isu harga rumah yang meningkat.
“Saya dengan tegas memberi tindak balas terhadap ancaman peluru berpandu dan nuklear Korea Utara dan provokasi lainnya untuk melindungi kehidupan dan keselamatan penduduk kita,” Yoon memberitahu penyokongnya.
Yoon, bekas pendakwa raya, berkata dia merancang untuk meningkatkan pakatan tentera Korea Selatan bersama AS bagi meneutralkan ancaman nuklear Korea Utara. Pesaingnya, Lee membuat perjalanan ke bandar pelabuhan Busan, di mana dia berjanji untuk meningkatkan ekonomi Korea Selatan dan menangani perpecahan dalaman.
“Saya akan menjadi presiden ‘ekonomi’ yang akan menjadikan Korea Selatan di kalangan G-5 atau lima negara paling berkuasa,” Lee memberitahu penyokongnya, dan menambah bahawa dia akan ‘menjadi seorang presiden yang menyatukan pendapat awam menjadi satu.”
Bekas gabenor wilayah, Lee berkata dia memihak diplomasi pragmatik antara Washington dan Beijing serta meningkatkan hubungan dengan Korea Utara.- AP
