Sunday, March 23, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cambah idea dalam penulisan karya

    Oleh Salawati Haji Yahya

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Dalam memberikan bimbingan kepada karyawan muda mengenai teknik penulisan karya sastera dalam pelbagai genre dan penataran ilmu sastera, dua peserta dan seorang pembimbing kelmarin berlepas menyertai Program Penulisan Mastera: Cerpen 2018 di Depok, Jawa Barat, Indonesia.

    Rombongan diketuai oleh Mantan Kurator Etnografi di Jabatan Muzium-muzium, Dr Pudarno bin Binchin selaku pembimbing peserta manakala dua peserta adalah Pegawai Pengkaji Dengar, Unit Audiologi, Dayang Zati Azra Fazriyah binti Haji Mohd Hussin dan tenaga pengajar di sekolah Arab, Dayang Liyana binti Awang Julay.

    Program kerjasama bersama Mastera Brunei Darussalam, Mastera Malaysia, Mastera Singapura dan Mastera Thailand itu berlangsung dari 12 hingga 18 Ogos dengan harapan ia dapat mencetuskan percambahan idea melalui wacana atau dialog intelektual antara penulis dan juga pembimbing.

    Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar ialah Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, Dr Haji Mohd Ali bin Haji Radin.

    Dengan adanya program ini juga, ia dapat memberikan peluang serta pendedahan kepada peserta untuk mengikuti situasi dan perkembangan dunia penulisan sastera sekali gus perkembangan dunia sastera di peringkat serantau.

    Dr Haji Mohd Ali bergambar ramai bersama rombongan di ruang berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

    Dalam usaha Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei mengangkat martabat pensyaratan Melayu di peringkat serantau dan antarabangsa melalui Mastera, Program Penulisan Mastera merupakan salah satu medium untuk menyebarkan maklumat dan ilmu terkini mengenai kesusasteraan.

    Di samping itu, ia juga untuk perkembangan penulisan di negara pengkaji, penyelidik dan karyawan serantau serta negara pendiri, negara anggota dan negara pemerhati Mastera lain.

    Program Penulisan Mastera ini merupakan salah satu kegiatan Mastera yang diadakan setiap tahun sejak tahun 1997 dengan mengundang pakar sastera, sarjana, karyawan, penulis selaku pembimbing dari lima buah negara anggota Mastera.

    Program ini juga merupakan salah satu program Mastera yang diadakan setiap tahun di Indonesia selaku penanggungjawab program yang telah disepakati dalam Sidang Mastera.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda