Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cambridge sasar status Lembah Silikon

    LONDON, 28 JAN – Cambridge, bandar Inggeris yang terkenal dengan universiti nya, penemuan saintifik dan status sebagai hab teknologi, menyasarkan untuk menjadi Lembah Silikon seterusnya.

    Kerajaan British menyediakan dana untuk projek infrastruktur baharu seperti perumahan dan pengangkutan yang dikatakan akan membantu Cambridge, utara London, menjadi ‘ibu kota sains Eropah’.

    Menteri Kewangan, Jeremy Hunt berkata bandar itu bermatlamat menjadi ‘Lembah Silikon seterusnya di dunia’.

    Inisiatif itu muncul apabila laporan bank HSBC bulan ini menunjukkan UK sebagai ‘ekosistem teknologi’ ketiga terbesar di dunia, dengan pelaburan modal usaha sama berjumlah AS$21.3 bilion pada 2023.

    Mendahului pelaburan adalah Amerika Syarikat (AS) dengan AS$150 bilion, diikuti oleh China hampir pada satu pertiga daripada jumlah itu.

    Hab global asal untuk inovasi teknologi terletak di kawasan San Francisco. Tarikan pekerjaan berkemahiran tinggi menjadikan kehidupan di dalam dan sekitar bandar AS sangat mahal.

    Sementara itu, rumah dan pejabat dianggap terlalu mahal di Cambridge, yang menyebabkan kerajaan UK menawarkan bantuan dengan perumahan ‘mampu milik’ di bandar itu sebagai sebahagian daripada rancangan baharu itu.

    Innovate Cambridge kerjasama antara universiti dan syarikat utama termasuk kumpulan ubat-ubatan, AstraZeneca dan Microsoft menyasarkan untuk menggandakan ‘unicorn’ bandar itu, atau syarikat pemula milik persendirian bernilai lebih daripada AS$1 bilion menjelang 2035. – AFP

    Gambar fail menunjukkan fasiliti Penyelidikan dan Pembangunan AstraZeneca, termasuk ibu pejabat syarikat, di Kampus Bioperubatan Cambridge di timur England. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda