Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Cameron adakan lawatan pertama ke luar negara

    KYIV, 17 NOV – David Cameron mengadakan kunjungan ke pelabuhan Ukraine, Odesa, kelmarin dalam lawatan luar negara pertamanya sebagai menteri luar negeri Britain yang baharu.

    Semasa lawatan itu, beliau berjanji bahawa United Kingdom (UK) akan terus memberikan sokongan ketenteraan sehingga Ukraine menang dalam perangnya dengan Russia.

    Cameron, bekas perdana menteri yang kembali ke kerajaan dalam pelantikan mengejut pada Isnin lalu, berkata beliau ingin membuat Ukraine sebagai destinasi diplomatik pertamanya, dan bertemu dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, pada Rabu.

    “Saya kagum dengan kekuatan dan keazaman rakyat Ukraine,” katanya kepada Zelensky dalam video yang dimuat naik oleh presiden.

    Cameron berkata UK akan terus memberikan sokongan moral, ekonomi dan diplomatik “tetapi yang paling penting, sokongan ketenteraan yang diperlukan bukan hanya tahun ini dan tahun depan tetapi selama mana yang diperlukan.”

    Lawatan dua hari itu diadakan ketika Ukraine menghadapi beberapa cabaran di dalam dan di luar medan peperangan.

    Zelensky bergelut untuk menarik perhatian dunia ketika fokus beralih ke Timur Tengah dan peperangan Israel dengan Hamas. Tambahan dana Amerika Syarikat untuk Ukraine terancam oleh pergolakan politik di Washington, dan Kesatuan Eropah berkata ia tidak dapat menyediakan semua senjata yang dijanjikan.

    Sementara itu, serangan balas Ukraine hanya mencapai kejayaan yang sedikit, dan peperangan darat kelihatan buntu menjelang musim sejuk.

    Pegawai Barat, bercakap dengan syarat tanpa nama untuk membincangkan maklumat rahsia, kelmarin berkata peperangan darat kemungkinan akan berterusan. Seorang pegawai berkata kedua belah pihak tidak mampu melancarkan serangan yang boleh membawa kepada kemenangan, dan operasi serangan balas Kyiv tidak mengubah matlamat Presiden Russia, Vladimir Putin, untuk mengawal Ukraine. – AP

    Menteri Luar Britain, David Cameron (kanan) ketika membuat pertemuan dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada 15 November 2023. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...