LIBREVILLE, 6 Feb – Vincent Aboubakar keluar dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol kemenangan dengan perlawanan berbaki dua minit apabila Cameroon bangkit untuk menewaskan Mesir dalam final menarik Piala Negara-Negara Afrika awal pagi tadi.
Pemain tengah Arsenal, Mohamed Elneny telah memberikan Mesir pendahuluan di pertengahan separuh masa pertama dan Mesir kelihatannya dalam laluan untuk memenangi mahkota kelapan Piala Negara-Negara Afrika dalam kemunculan pertama mereka dalam kejohanan itu sejak 2010.
Tetapi Nicolas Nkoulou, yang diturunkan sebagai pemain gantian di separuh masa pertama, menanduk masuk jaringan penyamaan ketika perlawanan sudah menghampiri satu jam dan Aboubakar memastikan kemenangan dengan jaringan di minit ke-88.
Jaringan itu telah mencetuskan keriuhan penyokong yang hampir memenuhi kapasiti stadium yang boleh memuatkan lebih 38,000 di ibu negara Gabon, para penyokong sebahagian besarnya terdiri daripada penyokong Cameroon.
Ia adalah mahkota kelima Piala Negara-Negara Afrika bagi Cameroon, pertama sejak 2002, dan kali pertama mereka menewaskan Mesir di final daripada tiga percubaan.

“Saya sangat gembira bahawa kami telah memenangi Piala Negara-Negara Afrika hari ini dan saya gembira untuk para pemain, ini bukanlah sekumpulan pemain bola sepak, mereka ada sekumpulan kawan-kawan,” kata jurulatih Cameroon, Hugo Broos.
Mesir hampir mencapai objektif mereka dalam aksi kembali di kejohanan itu selepas ketiadaan selama tujuh tahun, dan kekalahan itu terutamanya pasti menyakitkan jurulatih Hector Cuper.
Warga Argentina itu terdesak untuk memenangi piala selepas kerjayanya dicemari dengan nasib buruk mana-mana final di tahap kelab, termasuk kekalahan berturut-turut dalam Liga Juara-Juara UEFA dengan Valencia di permulaan dekad lepas.
Tetapi Cuper berkata: “Kesedihan yang saya alami bukanlah kerana saya tewas satu lagi final, tetapi kerana terdapatnya banyak harapan terutamanya dalam kalangan penduduk Mesir dan saya simpati terhadap para pemain yang memberikan segala-galanya.”
Mesir telah dipersendakan beberapa kali kerana pendekatan bertahan di bawah Cuper, tetapi tidak disangka-sangka mereka memperlihatkan aksi yang menarik di final. – AFP