PARIS, 27 JUN – FIFA kelmarin mengumumkan prosiding tatatertib terhadap Cameroon atas salah laku dalam perlawanan Piala Dunia wanita menentang England.
England memenangi 16 terakhir 3-0 Ahad lalu tetapi perlawanan di Valenciennes dicemari reaksi marah pemain Cameroon terhadap beberapa keputusan pengadil sehingga pada satu peringkat, mereka mengancam untuk keluar padang. Jurucakap FIFA mengesahkan Jawatankuasa Disiplin FIFA sedang membuka prosiding tatatertib terhadap Persatuan Bolasepak Cameroon.
Beliau menambah siasatan itu menumpukan kepada pelanggaran berkaitan artikel 52 (salah laku pasukan) dan artikel 57 (tingkah laku yang menyinggung dan permainan adil) Kod Tatatertib FIFA.
Jurulatih England Phil Neville selepas pertemuan itu berkata, dia amat malu dengan tingkah laku pemain Cameroon. Jurulatih Cameroon, Alain Djeumfa pula berkata, pasukannya telah menjadi mangsa ‘ketidakadilan’. – AFP
