Wednesday, March 19, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cameroon mara ke final

    FRANCEVILLE, 3 Feb – Michael Ngadeu dan Christian Bassogog telah menjadi wira Cameroon selepas keduanya menjaringkan gol di separuh masa kedua untuk menyingkirkan Ghana dengan jaringan 2-0 di Franceville awal pagi tadi, sekali gus mara ke perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika.

    Pertembungan tanpa gol yang menarik akhirnya berubah di minit ke-72, apabila penjaga gol Ghana, Razak Brimah gagal menangani satu sepakan percuma dengan baik dan tandukan lemah John Boye untuk membuang bola telah menjadi hadiah kepada Ngadeu untuk merembat masuk gol pertama perlawanan.

    Bassogog kemudian telah menggandakan jaringan dan sekali gus memastikan kemaraan Cameroon ke perlawanan akhir menentang Mesir di Libreville.

    Itu akan menjadi perlawanan akhir yang pertama bagi Cameroon sejak tewas 1-0 kepada Mesir pada tahun 2008. Ketika itu mereka juga menewaskan Ghana di separuh akhir.

    “Ia adalah satu mimpi yang nyata untuk kami mara ke perlawanan akhir,” kata pengendali Cameroon, Hugo Broos.

    Para pemain Cameroon meraikan jaringan kedua mereka di penghujung perlawanan dalam aksi separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika menentang Ghana di Franceville. – AFP
    Para pemain Cameroon meraikan jaringan kedua mereka di penghujung perlawanan dalam aksi separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika menentang Ghana di Franceville. – AFP

    “Ghana mempunyai lebih banyak pengalaman berbanding kami, lihat apa yang mereka telah lakukan dalam beberapa kejohanan kebelakangan ini. Tetapi sejak bermulanya kejohanan ini, kami telah menunjukkan bahawa kami berjuang hingga ke wisel penamat dalam setiap perlawanan.

    “Saya sangat gembira, terutamanya bagi pasukan ini. Mereka kumpulan pemain yang hebat di dalam dan luar padang, dan selayaknya berada di perlawanan akhir.”

    Ghana, yang masih belum pernah menewaskan Cameroon di kejohanan itu, akan pergi ke Port-Gentil bagi penentuan pemenang ketiga menentang Burkina Faso.

    Ia merupakan separuh akhir Piala Negara-Negara Afrika keenam berturut-turut bagi Ghana, tetapi penantian mereka untuk kejuaraan pertama sejak 1982 akan berterusan.

    “Kami telah melakukan segala-galanya untuk berada di perlawanan akhir dan di separuh masa kedua kami menguasai perlawanan. Setentunya tahniah kepada Cameroon tetapi kami bermain lebih baik dan kami tewas.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda