Canberra, Australia bakal sambut kedatangan pelajar antarabangsa

CANBERRA, 22 OKT – Pelajar antarabangsa akan dapat kembali ke Canberra, Australia untuk sesi akademik 2022, umum Ketua Menteri Australian Capital Territory (ACT), Andrew Barr, hari ini.

Beliau berkata Canberra akan menyambut kembali kedatangan penuntut yang lengkap divaksin COVID-19  pada awal 2022, lapor Xinhua.

Di bawah rancangan itu, pelajar yang telah diinokulasi dengan vaksin yang diiktiraf Pentadbiran Barang Terapi (TGA) Australia tidak perlu menjalani kuarantin semasa tiba di ACT tetapi tertakluk kepada syarat ditetapkan ACT.

“Institusi pendidikan tinggi memberikan sumbangan sosial dan ekonomi yang besar kepada Canberra,” kata Barr dalam kenyataan media.

Industri pendidikan antarabangsa menyumbang kira-kira A$ 1 bilion setahun untuk ekonomi ACT sebelum pandemik.

Universiti kehilangan pendapatan A$1.8 bilion dan mengurangkan 17,300 pekerjaan pada 2020. – Bernama

Tukang gunting kelihatan sibuk ketika Australia mula mengendurkan perintah berkurung dan dalam masa yang sama, mengumumkan akan menerima pelajar antarabangsa tahun depan. – AFP