Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Canselor Jerman turun padang lawat lokasi terjejas banjir

    BERLIN, 31 DIS – Canselor Olaf Scholz melawat bahagian utara Jerman yang dibanjiri air hari ini selepas beberapa hari dilanda hujan lebat.

    Pemimpin Jerman itu tiba dengan helikopter di Verden an der Aller di Lower Saxony, salah sebuah negeri yang paling teruk terjejas, di mana beliau akan menerima taklimat mengenai situasi kecemasan serta langkah-langkah perlindungan yang telah diambil.

    Diiringi oleh Perdana Menteri di rantau itu, Stephan Weil, Scholz akan bertemu dengan beberapa orang penduduk yang terjejas serta anggota perkhidmatan kecemasan.

    Hujan beberapa hari serta salji yang mencair telah menyebabkan beberapa wilayah – termasuk negeri barat Rhine-Westphalia Utara serta negeri timur Saxony dan Thuringia ditenggelami air.

    Bagaimanapun tiada kematian dilaporkan dalam kejadian banjir terkini, namun hujan baharu dijangka turun dalam beberapa hari akan datang, menimbulkan kebimbangan tebing air boleh pecah.

    Ribuan pekerja kecemasan telah diarahkan untuk mengukuhkan benteng dengan menimbun beg pasir di sepanjang tebing sungai itu.

    Berikutan itu, Jerman dilanda trauma dengan banjir maut yang pernah melanda pada Julai 2021, yang telah meragut lebih 180 nyawa apabila air deras melanda bandar dan kampung, memusnahkan jambatan, jalan raya, kereta api dan kawasan perumahan.

    Peramal cuaca telah mengeluarkan amaran, namun ramai penduduk tidak menyedari risiko banjir dahsyat itu, dengan puluhan ditemui mati di bilik bawah tanah mereka. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda